Siakap Keli
Gambar : The Guardian

Terima Rasuah Lebih RM 75 Juta, Bekas Menteri Kehakiman China Dipenjara Seumur Hidup

Terima Rasuah Lebih RM 75 Juta, Bekas Menteri Kehakiman China Dipenjara Seumur Hidup

Bekas Menteri Kehakiman China, Fu Zhenghua, 67, yang sebelum ini pernah mengendalikan penyiasatan beberapa kes rasuah berprofil tinggi telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah menerima rasuah.

Julai lalu, Fu mengaku bersalah menerima rasuah dengan jumlah suapan melebihi RM 75.22 juta.

Fu dijatuhkan hukuman mati yang ditangguhkan selama dua tahun sebelum hukuman bertukar kepada penjara seumur hidup tanpa parol.

Sebelum dilantik sebagai Menteri Kehakiman pada 2018, Fu memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Kementerian Keselamatan Awam.

Semasa memegang jawatan tersebut, dia banyak mengetuai siasatan berprofil tinggi termasuk siasatan rasuah membabitkan Zhou Yongkang, pegawai tertinggi paling berkuasa dalam pemerintahan moden negara itu yang pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah rasuah.

Sebelum perbicaraan mahkamah, Agensi Rasuah China menyatakan bahawa Fu juga terlibat dalam gerakan politik Sun Lijun.

Terdahulu, Sun yang merupakan bekas Timbalan Menteri Keselamatan Awam mengaku bersubahat bersama-sama beberapa pegawai kanan penguatkuasaan dalam salah laku untuk kepentingan peribadi.

Dia turut dijatuhkan hukuman mati yang ditangguhkan selama dua tahun selepas didapati bersalah dalam tiga pertuduhan iaitu menerima rasuah, memanipulasi pasaran saham dan memiliki senjata api secara haram.

Sebelum ini, tiga orang bekas ketua polis wilayah turut dijatuhkan hukuman penjara selepas didapati bersalah terlibat kes rasuah. Ketiga-tiga individu tersebut dikatakan penyokong Sun.

Beberapa media mendakwa bahawa Sun mempunyai pengaruh yang besar dalam parti pemerintah dan dilihat tidak menyokong pemerintahan semasa presiden China, Xi Jinping.

Hukuman-hukuman yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin tertinggi itu dibuat tiga minggu sebelum parti pemerintah menjalankan kongres pemilihan dimana Xi dijangka akan memegang jawatan Presiden buat penggal ketiga.

Sumber : The Guardian

Anis Annisa