Siakap Keli

Jual Nasi Lemak Di UM, Rupanya “Brother” Yaya Ada Lesen UEFA, Pernah Latih Skuad B12 Wolves

‘Brother’ Yaya si penjual nasi lemak Tanglin Di UM

Seorang lelaki warga Nigeria yang menjual nasi lemak di Universiti Malaya (UM) ini pasti dikenali oleh segenap lapis warga universiti tersebut. Sudah berada di Malaysia sejak 2010, dia yang bekerja dengan Nasi Lemak Tanglin lebih dari lapan tahun mampu berbahasa Melayu dengan fasih.

Oluwashola Yaya Olukosi atau lebih dikenali sebagai Yaya dilahirkan di Lagos, Nigeria. Dia berhijrah ke Malaysia kerana tidak mempunyai peluang pekerjaan yang banyak di negaranya.

“Saya akan bangun seawal jam 4 pagi untuk mengambil nasi lemak dan lauk-pauk dari cawangan utama Nasi Lemak Tanglin di Kompleks Makan Tanglin, Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur. Perniagaan bermula di UM pada jam 7.00 pagi,” kata Yaya yang kemas berkemeja putih dan berseluar hitam.

Yaya juga dikatakan sangat meminati sukan bola sepak. Beliau juga mempunyai pelbagai sijil dalam diploma kejurulatihan bola sepak termasuklah UEFA B Licence. Menurut UEFA, badan tertinggi bola sepak Eropah, kelayakan itu membolehkan Yaya untuk layak menjadi jurulatih bagi kelab amatur bawah 16 tahun dan penolong jurulatih bagi kelab profesional.

“Saya pernah jadi jurulatih untuk pasukan bawah 12 dan 13 tahun di Wolverhampton Wanderers, semasa berada di United Kingdom dahulu,” kongsi Yaya lagi.

Yaya juga pernah melanjutkan pelajarannya di Salford City College, Manchester dalam bidang kejurulatihan bola sepak.

Setelah tamat pengajiannya, Yaya kembali ke negaranya Nigeria tetapi peluang pekerjaan sangat terhad di sana. Yaya kemudian teringat akan nasihat tutornya agar mencari peluang menjadi jurulatih bola sepak di Asia Tenggara.

“Sewaktu saya mula mencari maklumat mengenai Malaysia, saya terus jatuh cinta dengan dua gambar iaitu Kuil Batu Caves dan Menara Berkembar Petronas. Tanpa membuang masa saya terus buat keputusan untuk berhijrah ke sini,” sambung Yaya yang kini menetap di Batu Caves sehinggi kini.

Kredit Latimin Keman/CCO

Yaya yang merupakan seorang muslim berkata, antara alasan lain dia memilih Malaysia adalah disebabkan makanan halal yang mudah didapati. Bukan sahaja makanan Melayu, malah makanan Cina, India dan pelbagai lagi boleh didapati dalam versi halal.

Kredit Latimin Keman/CCO

“Bukan setakat bekerja di lokasi penghasilan makanan kegemaran saya, tetapi juga peluang untuk mendekati masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Yang disatukan oleh makanan yang disayangi mereka. Mungkin ini satu konsep baharu yang boleh saya bawa balik dan kongsikan di negara saya nanti,” sambung Yaya sambil merenung bendera negaranya yang diletakkan di kiosknya.

Selepas termenung mengingatkan negara asalnya, Yaya sempat berkata Yoruba Land sedang menghadapi krisis dan kes negara itu sedang dibincangkan di peringkat mahkamah antarabangsa ICJ jadi dia tidak mahu berkongsi tentang isu itu.

“Kiosk Nasi Lemak Tanglin itu dibuka setiap hari bekerja dari 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Ditutup pada hari cuti umum atau bila saya bangun lambat,” akhiri Yaya dengan berseloroh.

Sumber: Universiti Malaya

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka