Demi menjadikan proses penggambaran filem lebih menyeronokkan, P.Ramlee dan rakan produksinya gemar berkelah sewaktu proses penggambaran filem-filem DO RE MI.
Lebih kurang dua kilometer dari Studio Merdeka, semasa melalui jalan yang menghala ke belakang laluan Zoo Negara, terdapat sebuah kampung yang dinamakan sebagai Kampung Kemensah. Kampung ini diselubungi dengan hutan yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan yang segar.
Tidak begitu jauh ke dalam, terdapat pula kawasan yang menempatkan hulu sungai yang jernih serta air terjun yang tidak tercemar, satu suasana yang membuatkan kita merasa sangat selesa untuk berkelah.
Oleh sebab keindahan alam yang terdapat di kawasan tersebut sangatlah menggamit jiwa, kebanyakan filem-filem purbawara yang dikeluarkan Studio Merdeka pada suatu masa dahulu, pasti akan memiliki penggambaran babak filem yang menampilkan sungai di Kampung Kemensah ini, sama ada babak pertarungan ataupun nyanyi-nyanyian.

Ketika pihak produksi sedang menjalani proses penggambaran filem komedi DO RE MI (1966), seniman P. Ramlee, selaku pengarah filem tersebut akan memastikan bahawa skrip filem itu mesti ada menyelitkan babak-babak yang menggunakan sebuah sungai kerana pada masa itulah, beliau akan mengambil peluang untuk beriadah dan berkelah ketika waktu rehat.
Berkelah sebagai salah satu cara yang bernas untuk memberikan tenaga positif terhadap pasukan produksi
Suasana pada ketika itu menunjukkan seolah-olah masa untuk berkelah lebih lama berbanding masa yang digunakan untuk penggambaraan. Difahamkan bahawa itulah sifat semulajadi P Ramlee.
Beliau suka dan akan memastikan pasukan produksinya sentiasa gembira semasa berkerja bersama dirinya, apatah lagi jika ia merupakan penggambaran bagi filem komedi. Apabila pelakon dan kru penggambaran berasa gembira dan ceria, maka hasil akhir bagi sesi produksi filem tersebut akan kelihatan gembira dan ceria juga.
Terdapat beberapa gambar yang menunjukkan bagaimana meriahnya sesi penggambaran mereka.

Gambar atas menunjukkan P Ramlee dan kru penggambaran filem sedang bermandi-manda di sungai yang berdekatan Kanmpung Kemensah. Air sungai yang mengalir kelihatan sangat jernih dan bersih. Patutlah lokasi ini menjadi pilihan seniman kita.

Seterusnya, P Ramlee, A R Tompel, Ibrahim Din dan kru produksi lain turut menikmati juadah yang dibekalkan semasa berkelah. Apabila makanan dijamah dalam tempat yang sangat cantik, rasa makanan itu akan menjadi lebih enak dan menjadikan kita lebih berselera.
Walaupun apa yang berlaku dalam gambar tersebut sudah berlaku kira-kira lebih daripada 50 tahun lepas, Sungai Kemensah masih menjadi lokasi perlancongan yang hangat dalam kalangan warga tempatan. Kini, terdapat pelbagai tempat makan, chalet dan beberapa kemudahan lain untuk memberikan hospitaliti mantap terhadap pelancong yang mengunjungi kawasan tersebut.

Akhir sekali, bekerja merupakan satu resmi dalam kehidupan. Ada kalanya kita akan menemui rasa sedih, kesal mahupun isi berputus asa semasa berkerja. Akan tetapi, kita juga perlu menjadi lebih kreatif dalam mewarnai alam perkerjaan kita. Aktiviti ini dilhat bukan sahaja mampu menghilangkan tekanan, ia juga mampu mengukuhkan hubungan sesama rakan sekerja, sekali gus dapat meningkat produktiviti syarikat.
Ihsan kiriman
Untuk pengetahuan, pengirim hantaran ini merupakan anak kepada Seniwati Mariani Ismail, Nazran bin H M Rohaizad. Seniwati ini pernah terlibat dalam beberapa filem terkenal seperti Masam Masam Manis, Nasib Si Labu Labi dan sebagainya. Beliau juga merupakan kakak kepada biduanda Saloma – selaku kakak ipar kapada P.Ramlee.
Menerusi temu bual bersama Siakap Keli, pengasas kumpulan Famili Artis-Artis Legenda, Nazran menggunakan platform Facebook yang didedikasikan untuk waris-waris seniman dan seniwati yang pernah mewarnai industri hiburan pada masa dahulu.
Gambar-gambar di atas pula merupakan ihsan daripada Ahmad Fauzee, seorang penyanyi, pelakon dan pengarah filem yang berasal dari Malaysia. Beliau sangat meminati P.Ramlee dan menghasilkan pelbagai buku seperti P. Ramlee: Irama Sanubari Episod 1, Biografi ‘Table Book’ Saloma dan lain-lain. Beliau juga pernah menjalankan kajian mengenai P.Ramlee hampir 30 tahun.
Usaha mereka untuk mengekalkan legasi legenda seni tanah air kita harus dihargai agar ia terus mekar sepanjang masa. Akhir sekali, benarlah legasi yang ditinggalkan oleh legenda ini boleh disifatkan dengan pepatah ‘harimau mati tinggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.’
Walau kita tidak dapat bersua dek halangan sang masa, namun nama mereka masih terukir segar di mulut dan hati sanubari rakyat Malaysia. Marilah sedekahkan Al-Fatihah untuk legenda seniman-seniman tanah air dan mereka yang telah pergi meninggalkan kita.
Sumber: Famili Artis Lagenda via Facebook