Pembentukan Garis Badai, Hujan Lebat Diramal Landa Utara Semenanjung, Kelantan & Terengganu Bermula 28 Hingga 30 Sept
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini menjangkakan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa negeri di utara Semenanjung termasuk Kelantan dan Terengganu bermula 28 September hingga 30 September 2022 ini.
Menurut MetMalaysia dalam satu kenyataan, tiupan angin barat di rantau negara dijangka meningkat disebabkan oleh Taufan Noru yang ketika ini berada di utara Filipina dan diramal bergerak ke barat menuju Vietnam.
Berikutan itu, pembentukan garis badai yang boleh mengakibatkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” jelas MetMalaysia dalam kenyataan itu.
RAMALAN CUACA SIGNIFIKAN
Dikeluarkan pada: 3:00 petang, 26 September 2022#ramalancuacasignifikan#MenangBersama#LindungDiriLindungSemua#metmalaysia pic.twitter.com/IisKn68hgr— Jabatan Meteorologi Malaysia (@metmalaysia) September 26, 2022
Terdahulu, Bernama melaporkan bahawa Filipina bersiap siaga untuk menghadapi taufan Noru susulan biro cuaca negeri meningkatkan tahap amaran di Metro Manila dan beberapa kawasan di Pulau Luzon serta mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang.
Noru iaitu taufan ke-11 yang melanda Filipina pada tahun ini berada pada kedudukan 175 kilometer dari timur wilayah Quezon, Selatan Manila pada Ahad.
Taufan itu bertiup ke arah barat dengan kelajuan 20 kilometer sejam serta membawa angin kencang dengan kelajuan 195 kilometer (km) sehingga 240 km sejam.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia
BACA JUGA: Masih Di Fasa Monsun Barat Daya, Ini Ramalan Cuaca Malaysia Sehingga Februari 2023