17 mayat ditemui pada Sabtu selepas bot yang membawa pelarian dari Lubnan dilaporkan karam pada Khamis di pantai Syria sekaligus mencatatkan angka kematian kepada 94 secara keseluruhan, lapor media televisyen kerajaan Syria menerusi CGTN.
Memetik CGTN, bot kecil yang membawa pelarian Lubnan, Syria dan Palestin karam ke dasar laut yang berlayar dari pelabuhan Tartous, Syria dan karam kira-kira 30 batu di utara Tripoli di Lubnan. Kanak-kanak dan warga emas merupakan antara yang berada di atas bot tersebut.
Difahamkan, ia merupakan salah satu tragedi karam yang mengerikan di Mediterranean timur dan digelar sebagai “tragedi menyayat hati” oleh pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (PBB).
Dalam pada itu, menurut The Guardian, sekurang-kurangnya 14 yang selamat masih dirawat di sebuah hospital di Syria dan enam mangsa lain telah dibenarkan keluar daripada hospital. Manakala terdapat dua mangsa yang masih berada dalam pemantauan Unit Rawatan rapi (ICU).
Di samping itu, ahli keluarga mangsa di Lubnan telah mengadakan pengebumian pada Sabtu setelah mayat ahli keluarga mereka diserahkan pada malam Jumaat menerusi lintasan sempadan Arida dengan Syria. Dalam masa yang sama, terdapat juga ahli keluarga lain yang masih menunggu jenazah saudara mara mereka diserahkan.
Di Tripoli, saudara mara menyatakan kemarahan dan kesdihan apabila mendapat khabar berita kematian orang tersayang. Orang ramai dikatakan berkumpul pada Sabtu di kem pelarian Palestin Nahr al-Bared, utara Tripoli untuk perarakan pengebumian salah seorang mangsa.
Di samping itu, menurut PBB, bilangan orang yang meninggalkan Lubnan dengan menggunakan jalan air (laut) meningkat hampir dua kali ganda berbanding 2020 dan 2021. Menurut mereka, ia meningkat sebanyak lebih 70 peratus pada 2022.
Peningkatan angka tersebut dipercayai didorong oleh kejatuhan nilai mata wang Lubnan apabila kadar kemiskinan meningkat kepada 6.5 juta dalam kalangan penduduk.
Ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin, Philippe Lazzarini berkata, tidak ada sesiapa pun yang menaiki bot membawa maut ini dengan mudah. Mereka mengambil keputusan yang membahayakan nyawa ini semata-mata untuk mempertahankan maruah diri.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
Sumber: CGTN, The Guardian