Foto Kelibat Pelik Dirakam Angkasawan Dari Stesen Angkasa Cetus Pelbagai Teori
Seorang angkasawan berjaya mengambil sebuah gambar yang memaparkan kelibat pelik ketika mengorbit bumi telah mencetuskan pelbagai teori, lapor Mirror.
Menurut laporan, Angkasawan Agensi Angkasa Eropah, Samantha Cristoforetti telah merakam pelancaran roket Soyuz Rusia pada hari Rabu lalu (21 September).
Dari sudut pandangannya di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), laluan yang dihasilkan oleh penerbangan kru itu telah mencetuskan pelbagai imaginasi oleh beberapa pemerhati.

Pada pandangan Amanda Kooser, pakar teknologi untuk laman web CNET, dia membandingkan gambar tersebut dengan “figura malaikat bersayap terbentang sedang naik ke orbit”.
Manakala menerusi blog IFLScience, mereka menyifatkan ia sebagai “malaikat angkasa yang hebat”.
Menurut pandangan seorang lagi pengulas dalam talian yang menyiar semula gambar tersebut menyatakan, ia kelihatan seperti adegan filem angkasa tahun 1960-an.
“Wow, hampir kelihatan seperti adegan dari filem angkasa tahun 1960-an. Cantik tetapi kelihatan tidak nyata.”
Menurut laporan, Angkasawan Cristoforetti bakal menjadi komander Stesen Angkasa Antarabangsa dan akan mengambil alih anak kapal Ekspedisi 67.

Tambahan lagi, Angkasawan Cristoforetti juga menyatakan bahawa pemandangan di ISS sangat menakjubkan semasa pelancaran Soyuz.
“Kami mempunyai pemandangan yang menakjubkan tentang pelancaran Soyuz!”
Difahamkan, Angkasawan NASA Frank Rubio bersama angkasawan Rusia Sergey Prokopyev dan Dmitri Petelin sedang dalam perjalanan ke ISS.
“Sergey, Dmitry dan Frank akan datang dalam masa beberapa jam sahaja dan kami menanti untuk mengalu-alukan mereka ke sini.”

Cristoforetti secara rasmi akan mengambil alih daripada rakan anak kapal Ekspedisi 67, Angkasawan Rusia Oleg Artemyev.
Komander terdahulu akan menyampaikan kunci kepada komander baharu sebagai simbolik upacara tradisional akan dijalankan pada hari Rabu (28 September).
Soyuz merupakan siri kapal angkasa yang telah beroperasi sejak 1960-an dan telah membuat lebih daripada 140 penerbangan.
Pelancaran pesawat Soyuz MS-22 menyaksikan perjanjian “pertukaran anak kapal” pertama sejak tamat program ulang-alik angkasa lepas lebih 15 tahun lalu.
Sumber : Mirror
Baca: “Rugi Ni Bang,” Penuh Satu Troli, Tiba-tiba “Cashier” Mydin Kata Tak Baloi Bayar Macam Ni