Baru-baru ini, kita digemparkan dengan insiden rusuhan penyokong bola sepak di sebuah stadium di Indonesia yang menyebabkan angka kematian terus meningkat sehingga 174 orang setakat ini. Perkara ini menyebabkan Presiden Indonesia, Joko Widodo menzahirkan rasa kekesalan atas apa yang berlaku.

BACA: Rusuhan Stadium: Angka Maut Meningkat 174, Jokowi Rasa Kesal
Siakap Keli turut melaporkan mengenai keterangan insiden ini dalam beberapa artikel sebelum ini. Berdasarkan laporan tersebut, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku setelah penonton mula bertindak agresif dengan memasuki ruang padang dan bertindak mengejar pemain sewaktu mahu memasuki ruang ganti.
Insiden ini sudah semestinya memberikan saat kelam terhadap Indonesia, terutamaya bagi ahli keluarga kepada mangsa yang terkorban. Namun begitu, penggunaan gas pemedih mata untuk meleraikan rusuhan telah menjadi satu persoalan yang besar dan hangat di Indonesia.

Berdasarkan laporan CNN Indonesia, pihak polis telah melepaskan gas pemedih mata ke arah tempat duduk penonton di Stadium Kanjuruhan ketika perlawanan bola sepak antara Arema FC menentang Persebaya Surabaya pada Sabtu.
Tindakan ini kelihatan bertentangan dengan apa yang termaktub dalam Peraturan FIFA mengenai Keselamatan dan Keamanan Stadium, yang mana ia menyatakan penggunaan gas pemedih mata atau agen kawalan rusuhan adalah dilarang sama sekali.
Penggunaan gas pemedih mata atau agen kawalan rusuhan
Gas pemedih mata ataupun agen kawalan rusuhan ini boleh menjadi berbahaya terhadap orang awam. Terdapat banyak kesan sampingan seperti buta, glaukoma, kematian mengejut disebabkan bahaan kimia yang terkandung dalam gas dan kegagalan sistem respirasi yang juga boleh membawa kepada kematian.
Bagaimana untuk mengelakkan diri anda daripada memperoleh kesan-kesan ini? Mungkin dalam kalangan orang kita akan menjawab, “Ala apa susah, kau jangan buat hal jerlah,”. Ya, jawapan tersebut ada betulnya tetapi kita kena sedia maklum mengenai keadaan jirim bagi gas.
Gas memiliki satu sifat yang unik iaitu memenuhi sesuatu ruang. Berbeza dengan pepejal dan cecair, kita sukar untuk mengawal pergerakan zarah-zarah yang terdapat dalam gas. Ini bermakna, gas pemedih mata atau lebih dikenali sebagai agen kawalan rusuhan ini tidak boleh dikawal dan boleh memberikan kesan kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal usia, sama ada yang mencetuskan provokasi mahupun tidak.

Oleh itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (Center for Diseases Control and Prevention, CDC) memberitahu anda mengenai agen ini dan bagaimana untuk mengatasinya.
Apa itu agen kawalan rusuhan?
Agen kawalan rusuhan (juga dikenali sebagai gas pemedih mata) adalah sebatian kimia yang melumpuhkan manusia buat sementara waktu dengan mengakibatkan kerengsaan pada mata, mulut, tekak, paru-paru dan kulit.
Terdapat beberapa sebatian kimia yang dikira sebagai agen kawalan rusuhan. Sebatian yang paling biasa digunakan dikenali sebagai chloroacetophenone (CN) dan chlorobenzylidenemalononitrile (CS). Terdapat beberapa contoh lain seperti chloropicrin (PS), bromobenzylcyanide (CA); dibenzoxazepine (CR); dan kombinasi beberapa agen.
Secara umumnya, agen kawalan rusuhan biasa digunakan oleh penguatkuasa untuk mengawal rusuhan. Individu dan orang awam juga ada menggunakan agen ini untuk perlindungan diri (sebagai contoh, penyembur lada). Bagi kegunaan ketenteraan, CS biasa digunakan untuk menguji kepantasan dan kemampuan pegawai mereka untuk menggunakan topeng gas.
Bagaimana agen kawalan rusuhan berfungsi
Disebabkan bentuk asal agen ini dalam bentuk cecair dan pepejal (sebagai contoh, serbuk), agen kawalan rusuhan seperti CN dan CS akan dibebas ke udara dalam bentuk titisan halus atau zarah-zarah. Jika agen ini dibebaskan ke udara, orang ramai boleh terdedah terhadap bahan ini melalui kulit, mata atau pun pernafasan.
Tahap keracunan yang disebabkan oleh agen kawalan rusuhan bergantung terhadap jumlah agen kawalan rusuhan yang didedahkan terhadap seseorang, lokasi pelepasan (dalam bangunan berbanding di luar), bagaimana orang itu terdedah dan tempoh masa pendedahan.
Agen-agen ini juga bertindak balas dengan memberikan kerengsaan terhadap kawasan yang terdedah dengan agen tersebut (sebagai contoh, mata, kulit, hidung) untuk pendedahan hanya dalam beberapa saat. Kesan pendedahan bahan ini biasanya bersifat sementara (15-30 minit), selepas individu tersebut membersihkan dirinya daripada bahan itu.
Kesan segera dan simptom-simpton pendedahan terhadap agen kawalan rusuhan
Bagi sesiapa yang terdedah dengan bahan tersebut, mereka akan mengalami beberapa atau semua gejala serta-merta:
- Mata: Mata berair, pedih, pandangan menjadi kabur, kemerahan
- Hidung: Hidung berair, pedih, bengkak
- Mulut: panas, kerengsaan, kesukaran untuk menelan, air liur meleleh
- Paru-paru: rasa sesak nafas, batuk, rasa seperti tercekik, bunyi nafas yang kuat, rasa ketat pada bahagian dada
- Kulit: panas, ruam
- Lain-lain: mual dan muntah-muntah
Pendedahan dalam jangka masa lama atau dalam dos yang tinggi, terutamanya dalam tempat yang tertutup akan memberikan kesan yang lebih dahsyat seperti;
- Buta
- Glaukoma (keadaan mata yang serius dan boleh mengakibatkan buta)
- Mati mengejut disebabkan kerengsaan terhadap tekak dan paru-paru.
- Kegagalan sistem pernafasan yang boleh mengakibatkan kematian.
Cara- cara untuk mengurangkan risiko kesan sampingan daripada pelepasan agen kawalan rusuhan
Memandangkan saluran pernafasan merupakan laluan utama untuk gas ini memasukan sistem dalaman tubuh kita, tinggalkan kawasan pelepasan gas tersebut serta merta dan segara mendapatkan udara yang bersih. Segera berpindah ke tempat yang memiliki udara bersih merupakan cara yang paling efektif untuk mengurangkan pendedahan terhadap agen kawalan rusuhan.
1. Segera dapatkan udara bersih
Terdapat beberapa cara untuk mendapatkan udara bersih, bergantung terhadap situasi anda berada sewaktu kejadian berlangsung:
- Jika agen kawalan rusuhan dilepaskan di luar bangunan, berpindah segara daripada kawasan tersebut. Elakkan daripada memasuki kawasan yang memiliki ‘awan’ yang berupa wap gas kawalan rusuhan yang sangat tepu.
- Pergi ke tempat yang paling tinggi kerana agen kawalan rusuhan akan menghasilkan wap yang sangat tepu dan memiliki bentuk seakan-akan awan serta, akan bergerak mendekati permukaan tanah.
- Jika gas tersebut dilepaskan dalam bangunan, keluar daripada bangunan dengan segera.

2. Patuh arahan koordinator kecemasan
Selain itu , jika anda berhampiran dengan lokasi pelepasan agen kawalan rusuhan, para koordinator kecemasan akan memberitahu anda untuk meninggalkan kawasan tersebut dan mendapatkan tempat perlindungan dalam bangunan tersebut bagi mengelakkan diri anda daripada terdedah dengan gas yang berbahaya.
3. Tanggalkan pakaian dengan segera
Seterusnya, jika anda sudah cuba sedaya upaya untuk melarikan diri tetapi masih terdedah dengan bahan tersebut, segera tanggalkan pakaian anda. Anda juga tidak boleh menanggalkan pakaian anda dengan cara yang biasa (menanggalkan pakaian tersebut menerusi kepala).
Jika anda membantu orang lain untuk menanggalkan pakaian mereka. cuba untuk tidak menyentuh bahagian-bahagian yang sudah dicemari dengan agen kawalan rusuhan serta lakukan proses tersebut dengan pantas.

4. Bersihkan diri
Selepas menanggalkan pakaian, anda perlu membersihkan diri anda dengan segera. Basuh anggota badan anda dengan menggunakan sabun dan air bersih yang banyak. Tindakan ini juga membantu untuk melindungi oramg lain daripada terdedah dengan bahan kimia yang berbahaya.
Semasa proses membersihkan diri, jika mata anda tiba-tiba menjadi kabur, pedih dan sebagainya, bilas mata anda dengan menggunakan air bersih dalam tempoh sepuluh sehingga lima belas minit.
Jika anda memakai kanta lekap, tanggalkan segera dan letakkan bersama dengan pakaian yang sudah dicemari dengan agen kawalan rusuhan. Jangan sesekali memakainya semula.
Berbeza pula dengan pemakai cermin mata dan barang perhiasan, anda boleh memakainya semula selepas mencucinya dengan menggunakan sabun dan air bersih. Jika barangan tersebut tidak dapat dibasuh, letakkan di satu tempat bersama pakaian yang telah dicemari tadi.

5. Lupuskan pakaian yang terdedah dengan agen
Untuk mengelakkan orang lain daripada terdedah dengan bahan berbahaya, anda perlu melupuskan pakaian yang sudah terdedah dengan agen kawalan rusuhan. Letakkan pakaian tersebut dalam beg plastik dan elakkan diri daripada menyentuh pakaian tersebut.
Kalau anda terpaksa menyentuh bahagian yang sudah dicemari ataupun tidak pasti, kendalikan pakaian tersebut dengan menggunakan sarung tangan getah. Apa-apa yang terdedah dengan agen tersebut, perlu dimasukkan dalam beg plastik.
Ikat beg plastik tersebut dan lapiskan dengan satu lagi beg plastik. Jika anda melupuskan pakaian anda dengan cara ini, ia akan menyelamatkan insan-insan lain daripada terdedah dengan bahan-bahan yang berbahaya.
Ketika pihak kesihatan tiba, maklumkan apa yang anda lakukan terhadap beg plastik itu dan pihak tersebut akan mengaturkan sesi pelupusan untuk seterusnya. Jangan sesekali mengendalikan bag-beg plastik tersebut bersendirian.

Akhir sekali, anda perlu pergi ke pusat rawatan terdekat dengan segera. Segala tindakan susulan akan diberikan kepada berupa pemeriksaan kesihatan, rawatan awal bagi mengurangkan risiko kesan sampingan. Sila beri kerjasama kepada pihak perubatan untuk memberikan maklumat yang tepat dan lengkap, jika anda ada menghidapi penyakit kronik dan sebagainya.
Antara rawatan yang diberikan jika anda terdedah pada agen kawalan rusuhan
Ada rawatan yang diberikan kepada mangsa dengan memastikan mereka mendapat lebih banyak oksigen dan menghalang agen tersebut daripada memberikan kesan yang lebih kritikal. Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat athma (seperti bronchodilators dan steroids) akan diberikan untuk membantu pernafasan mangsa.
Bagi bahagian mata mangsa yang terdedah dengan bahan ini, ia akan dirawat secara membilasnya sehingga tiada sisa agen kawalan rusuhan yang terdapat pada mata mangsa.
Secara umumnya, tiada penawar bagi sesiapa yang terdedah dengan bahan ini. Kebanyakan kecederaan dan kesan kerengsaan pada kulit akan dirawat mengikut teknik pengurusan kerengsaaan standard, termasuklah penggunaan pembalut luka.
Sumber: CNN Indonesia & CDC