Siakap Keli
PSSI dihentikan akan siasat punca
Gambar; Tangkap Layar Video

Rusuhan Stadium: Angka Maut Meningkat 174, Jokowi Rasa Kesal

Insiden rusuhan di Stadium Kanjurahan, Malang malam tadi yang meragut hingga kira-kira 174 nyawa termasuk dua anggota polis mendatangkan rasa kesal kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Joko Widodo atau Jokowi dalam satu kenyataan berkata, beliau berharap kematian tragis itu adalah yang kali terakhir berlaku dan tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Saya menyesal terjadinya tragedi ini dan saya berharap tragedi ini tragedi bola sepak yang terakhir berlaku di Indonesia.

“Jangan sampai ada lagi tragedi kemanusiaan seperti ini (pada) masa akan datang,” katanya dalam satu ucapan khas hari ini menerusi laman Twitter miliknya.

Sementara itu, menurutnya Liga Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dihentikan sementara sehingga prosedur penilaian dan keselamatan dilakukan susulan rusuhan yang berlaku.

Jokowi berkata perkara itu ditimbang tara setelah melihat rusuhan yang berlaku meragut nyawa rakyatnya di stadium berkenaan.

“Saya juga memerintahkan PSSI untuk menghentikan sementara Liga 1 sampai evaluasi dan perbaikan prosedur pengamanan dilakukan,” kata Jokowi.

Dalam pada itu, beliau turut mengeluarkan arahan kepada ketua polis untuk menyiasat punca tercetusnya kejadian rusuhan.

“Saya juga telah perintahkan kepada Menpora Lapori dan Ketua Umum PSSI untuk melakukan evaluasi yang menyeluruh tentang pelaksanaan pertandingan sepak bola.

“Dan juga prosedur pengamanan (keselamatan) dan juga penyelenggaraannya khusus kepada Kapolri (ketua polis) saya minta untuk melakukan investigasi dan mengusut tuntas kasus ini,” jelas Jokowi lagi.

Laporan terkini CNN Indonesia, angka korban meningkat 174 orang

Terdahulu, insiden rusuhan yang berlaku semasa perlawanan bola sepak meragut nyawa sebanyak 129 orang (statistik awal) termasuk dua anggota polis.

Ketua Polis Jawa Timur di Ibu Pejabat Polis (IPD) Malang, Inspektor Jeneral Nico Afinta berkata hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku setelah penonton mula memasuki ruang padang dan bertindak mengejar pemain sewaktu mahu memasuki ruang ganti.

Tambah Nico, seramai 34 orang meninggal dunia ketika berada di dalam stadium sementara selebihnya disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di hospital.

Dalam perlawanan bola sepak di stadium tersebut, pasukan Arema FC yang merupakan tuan rumah tewas 2-3 kepada pasukan pelawat Persebaya selepas pengadil meniupkan wisel penamat.

Bagaimanapun menurut laporan TERKINI daripada CNN Indonesia sekitar pukul 2 petang tadi, jumlah mangsa terkorban dalam rusuhan itu dilapor meningkat kepada 174 orang.

“Data Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPPD) Jawa Timur pada pukul 10.30 tadi memang demikian, 174 korban meninggal,” kata Wakil Gubernur Jawa Timur, Emil Dardak, kepada CNN Indonesia.

Sumber: Twitter Joko Widodo

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana