Siakap Keli

PERKESO Bakal Beri Bantuan Bulanan Buat Isteri Penghantar Makanan Maut Dirempuh SUV

Keluarga Allahyarham Muhaimin Mohad Sain @ Mohd Said, 34, bakal menerima bantuan bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kata Ketua Cawangan Skuad Perkeso Prihatin, Ismail Abi Hashim. 

Ujarnya, pihak mereka mendapati mangsa telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sekaligus melayakkan keluarga Allahyarham menerima bantuan tersebut. Muhaimin merupakan salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan melibatkan dua penghantar makanan dilanggar oleh dua buah SUV dalam kejadian pada minggu lalu.

“Kita telah berhubung dengan keluarga arwah termasuk memeriksa kelayakan dan mendapati waris layak menerima faedah Perkeso. Kita juga difahamkan arwah baru mendirikan rumah tangga pada dua minggu lalu.

“Perkara ini masih peringkat awal namun Perkeso akan membantu menguruskan jenazah arwah dengan memberi bantuan sebanyak RM2,000 dan pembayaran secara bulanan kepada waris (isteri) arwah,” katanya seperti dilapor Majoriti.

Skim tersebut merupakan salah satu usaha berterusan PERKESO menawarkan perlindungan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) terutamanya mereka yang terlibat dalam Sektor Pengangkutan Penumpang dan Sektor Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan. 

Bermula 1 Oktober sehingga 31 Oktober ini, PERKESO melancarkan Bulan Pemutihan SKSPS 2.0 di mana orang ramai boleh mendaftar dan mencarum secara sukarela. 

Menurut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), kegagalan OBS dalam dua sektor terlibat mendaftar dan mencarum SKSPS merupakan satu kesalahan. Individu terlibat boleh dipenjara sehingga 2 tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, sepanjang Bulan Pemutihan ini, tiada Notis Amaran SKSPS akan dikeluarkan buat semua kumpulan OBS yang tampil mendaftar secara sukarela sehingga 31 Oktober akan datang.

Individu bekerja sendiri yang ingin mendaftar skim tersebut boleh ke portal Matrix PERKESO atau hadir ke mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara.

Amira

Love yourself.