Siakap Keli
Angelina Jolie banjir pakistan
Kredit: Instagram

“Sayu..” Angelina Jolie Gambarkan Perasaan Sewaktu Bantu Mangsa Banjir Di Pakistan

Seorang bintang Hollywood, Angelina Jolie mengatakan dia merasa sangat sayu selepas mengunjungi kawasan yang terjejas akibat banjir besar di Pakistan, serta bertemu dengan mangsa-mangsa bencana tersebut.

Jolie merupakan insan yang selalu menjadi sukarelawan serta merupakan duta bagi Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR)).

Baru-baru ini, Jolie telah melawat kawasan yang terjejas teruk dengan banjir berdekatan wilayah Selatan Sindh di Pakistan. Di sana, beliau berpeluang bertemu dengan mangsa-mangsa banjir di kawasan penempatan sementara.

“Saya tak pernah tengok keadaan macam ini, sepanjang hayat saya,” kata pelakon wanita tersebut pada Khamis.

Susulan daripada kunjungannya ke sana, beliau mengatakan dirinya sangat sayu dan menzahirkan rasa bimbang kerana, jika bantuan tidak tiba pada waktunya, ramai yang akan terkorban.

Kredit: Instagram

“Saya telah berbual dengan beberapa orang dan berfikir sejenak. Jika bantuan yang mencukupi tidak dapat sampai ke lokasi tersebut, mereka tidak akan dapat lagi hidup dalam beberapa minggu lagi,” kata Jolie.

Jolie telah sampai ke Karachi pada Rabu, ibu kota bagi wilayah Selatan Sindh yang menjadi pusat bagi bencana banjir yang telah membunuh 692 orang dalam masa tiga bulan.

Kredit: Instagram

Selain itu, beliau juga turut mengunjungi Dadu, satu kawasan yang menjadi tempat jangkitan wabak bawaan air dan  menyaksikan kematian hampir 300 orang sejak Julai lalu. Jolie juga bertemu dengan mangsa-mangsa bencana tersebut dan ingin mengenal pasti apa yang mereka perlukan pada saat ini.

Kemudian, ketika berjumpa dengan orang awam dan pegawai tentera di ibu kota Islamabad, beliau berkata: “Saya bersama anda semua dalam menggesa masyarakat antarabangsa untuk lakukan sesuatu… Saya rasa ini merupakan seruan terhadap seluruh dunia mengenai apa yang belaku di sini,”

“Perubahan iklim bukan satu mitos dan ia sudahpun berlaku.”

Keadaan banjir di Pakistan

Untuk makluman, bencana banjir ini telah menyebabkan satu pertiga daripada Pakistan ditenggelami air. Berdasarkan amaran daripada pihak berkuasa, air banjir ini akan surut dalam lingkungan enam bulan lagi.

Bencana ini telah menyebabkan lebih daripada tujuh juta kehilangan tempat tinggal dan memberikan kesan terhadap 33 juta rakyat Pakistan. Kejadian luar biasa ini dikaitkan dengan krisis iklim yang diramalkan oleh sekumpulan saintis antarabangsa.

Secara umumnya, perubahan iklim telah menjadi punca kepada banjir besar di negara tersebut, dengan jumlah kematian terkini iaitu 1,599 orang termasuk 551 kanak-kanak dan 318 lelaki.

Kredit: Instagram

Menurut International Rescue Committee, sebuah kumpulan sukarelawan yang terkemuka di persada antarabangsa,  Jolie mengunjungi Pakistan adalah untuk memberi bantuan terhadap komuniti-komuniti yang terkesan daripada insiden becana alam tersebut.

Sumber: Independent

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma