Siakap Keli
Pelakon Zul Ariffin Didenda RM30000
Gambar: Bernama

Kandungan Sumbang: Pelakon Zul Ariffin Didenda RM30,000

SEPANG, 4 Okt (Bernama) — Pelakon drama dan filem Zul Ariffin, didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah memuat naik kandungan video bersifat sumbang menggunakan aplikasi Instagram miliknya, pada 18 Mac lepas.

Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap Zul Ariffin atau sebenarnya Zulkifli Ariffin, 36, yang didakwa membuat penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi akaun Instagram zul_ariffin dengan niat menyakiti hati orang lain.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merujuk kepada penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala tertuduh diwakili peguam P. Sivaram.

Pada 18 Mac lepas, pelakon itu mengundang kontroversi selepas memuat naik video yang memaparkan ‘teaser’ adegan panas daripada drama ‘Perempuan Itu’ sebelum bertindak memadam hantaran tersebut dan membuat permohonan maaf menerusi media sosial.

Fazril Sani memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana telah mengundang reaksi negatif daripada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini termasuk golongan penggiat seni.

“Hukuman perlu mencerminkan impak tindakan tertuduh terhadap masyarakat. Ini kerana kes ini mengundang reaksi negatif daripada masyarakat.

“Suatu hukuman setimpal adalah wajar dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi atau melakukan kesalahan sama di masa hadapan,” katanya.

Peguam Sivaram pula memohon agar mahkamah meringankan hukuman atas faktor pelakon berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah dan perlu menanggung kos perubatan bapa yang berusia 74 tahun serta kakaknya, 48, kerana masalah kesihatan.

Tertuduh juga telah bertindak pantas dengan memadam segera kandungan tersebut pada 19 Mac, katanya.

Hakim Noorhisham menjatuhkan hukuman denda RM30,000, dan jika gagal membayar akan dikenakan hukuman penjara sembilan bulan.

Sumber: BERNAMA

Muhd Iqbal