Sekumpulan peniaga di sebuah kampung di Limbang, Sarawak tidak menyangka bahawa jualan atau sales mereka berjaya meraih sehingga lebih setengah juta.
Terdapat banyak cara untuk setiap individu mendapatkan sumber pendapatan. Ada yang bekerja ‘makan gaji’, ada yang bekerja sendiri malah ada juga yang berniaga. Seperti yang kita tahu, perniagaan merupakan salah satu platform terbaik untuk seseorang individu meraih pendapatan sendiri. Ada banyak medium tersedia untuk peniaga meniagakan barangan mereka sama ada secara besar-besaran mahupun kecil-kecilan.
Tidak terkecuali juga usahawan di luar bandar, mereka juga ada skop produk, perniagaan dan jualannya yang tersendiri. Malah boleh dikatakan usahawan-usahawan luar bandar sememangnya ada produk tarikannya yang tersendiri seperti makanan tempatan, produk warisan, eko-pelancongan dan banyak lagi.
Biasanya usahawan-usahawan luar bandar akan ‘berkampung’ di sesebuah karnival ataupun ketika keramaian kerana itulah waktu paling puncak untuk berniaga sampai berjaya menarik ribuan pengunjung. Samalah seperti yang berlangsung di Limbang, Sarawak pada hujung minggu lalu apabila para usahawan di sana berjaya membuat jualan secara keseluruhan sehingga mencapai angka lebih setengah juta!
Niaga kat kampung je tapi capai RM625,000?
Untuk makluman anda, kutipan jualan secara TUNAI lebih RM625,000 tersebut adalah diperolehi dalam Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) 2022 atau Mini KUD @ Limbang yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks Sukan Limbang, Sarawak baru-baru ini. Terdetik juga dalam hati, berniaga di luar bandar saja tapi macam mana boleh dapat sampai lebih setengah juta dalam masa tiga hari?

Kalau diikutkan sebenarnya pada awalnya sasaran jualan keseluruhan yang diletakkan hanyalah RM200,000 sahaja. Tapi siapa sangka, karnival jualan anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang berlangsung dari 30 September hingga 2 Oktober itu dikunjungi oleh lebih 42,000 pengunjung dari yang dekat hingga paling jauh!
Walaupun angka jualan atas kertas yang direkodkan lebih RM625,000, bagaimanapun nilai keseluruhan transaksi Mini KUD @ Limbang ini apabila diambil kira kos tempahan, permadanan perniagaan dan seumpamanya, ia sebenarnya mencecah hampir RM1.3 juta! Macam susah nak percaya tapi itulah hakikatnya.
Penganjuran Mini KUD @ Limbang di kompleks sukan berkenaan bukan dianjurkan dalam skala ‘biasa-biasa’ sahaja, namun ia sebenarnya turut mendapat penglibatan terus bersama empat agensi di bawah KPLB iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Berhad, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti (EK) di bawah KPLB.
Program perniagaan usahawan desa yang boleh dianggap berkonsepkan ‘dari rakyat untuk rakyat’ ini juga turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Majlis Daerah Limbang (MDL) khususnya dalam penyediaan tapak karnival dilangsungkan.
Apa objektif Mini KUD @ Limbang sebenarnya?

Untuk pengetahuan anda, penganjuran Mini KUD @ Limbang sebenarnya adalah sebagai platform untuk mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh kementerian dan agensi yang dapat membantu perkembangan perniagaan usahawanan-usahawan luar bandar.
Selain itu, ia juga bertujuan bagi mempromosi dan menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk atau perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli. Malah tidak kurang juga, ia juga dapat meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar.
“Melalui program ini juga kementerian dapat mengumpul maklumat dan mendapatkan maklum balas terkini daripada usahawan luar bandar khasnya di bawah bimbingan KPLB mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang telah dilaksanakan oleh kementerian dan agensi bagi tujuan penambahbaikan berterusan,” maklum KPLB dalam satu kenyataan.
Aktiviti apa yang ada sampai 42,000 datang serbu?
Terdapat bermacam-macam aktiviti menarik sepanjang Mini KUD @ Limbang berlangsung selama tiga hari di sana, daripada berniaga produk makanan warisan Sarawak di reruai sehinggalah berbasikal merentas ‘lapangan’ bumi Sarawak beramai-ramai. Nak tahu lebih lanjut aktiviti apa yang sampai tarik 42,000 pengunjung datang tu? Jom lihat gambar-gambar di bawah.





























BACA JUGA: “Smart Woo,” Gigih Seludup ‘Handphone’ 3310 Abah Ke Sekolah Semata Nak Tunjuk Kat Rakan Sekelas