Harimau Malaya Naik Dua Anak Tangga Dalam Ranking FIFA Terbaru, Kini Ke-146 Dunia
Skuad bola sepak kebangsaan Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila berjaya melonjak ke tangga 146 dalam senarai yang dikemaskini baru-baru ini.
Memetik Sinar Harian, skuad kendalian Kim Pan-gon itu berjaya menaiki dua anak tangga berbanding sebelumnya iaitu tangga ke-148.
Beberapa aksi positif yang ditampilkan skuad Harimau Malaya dalam Piala Raja Thailand 2022 dilaporkan telah menyumbang kepada kenaikan ranking tersebut.
Malaysia kini kekal di kedudukan ke-26 dalam negara Asia dan kedudukan keempat dalam Asia Tenggara berdasarkan kedudukan terbaharu tersebut, lapor Sinar Harian.
Selain dari itu, pasukan Brazil masih lagi kekal berada dalam kedudukan pertama dunia dengan mengumpul sebanyak 1,841.3 mata, diikuti dengan Belgium sebanyak 1,816.71 mata dan Argentina di tempat ketiga sebanyak 1,773.88 mata.
Sumber: Sinar Harian