Macam Bayang-Bayang, Youtuber Jepun Nekad Jadi Manusia Paling Hitam Di Dunia
Seorang YouTuber popular di Jepun bernama Hajime, baru-baru ini mengejutkan berjuta-juta pengikutnya selepas mengecat badannya menggunakan cat paling hitam yang dijual secara komersial di dunia.
Hajime seorang vlogger Jepun yang terkenal dengan idea gilanya, baru-baru ini mengunakan cat jenis Musou Black di biliknya untuk menjadikan bilik paling hitam di dunia.
Video di YouTube miliknya menunjukkan Hajime mengecat dinding biliknya dengan menggunakan cat tersebut untuk menjadikannya gelap dan apabila orang melihatnya seakan-akan sedang melihat kegelapan.

Video itu mendapat jumlah tontonan yang banyak, namun dalam satu perkongsian gambar di Twitter miliknya paling mendapat perhatian.
Gambar itu menunjukkan Hajime menyembur cat hitam itu ke seluruh badannya di pantai pada waktu tengah hari. Namun gambar itu seperti sedang melihat bayang-bayang dan bukannya seorang manusia.

Musou Black merupakan sejenis cat yang dibangunkan dan dijual oleh Koyo Orient Japan namun ianya bukanlah merupakan cat paling hitam di dunia.
Sebaliknya rekod itu dipegang oleh Vantablack yang mampu menyerap cahaya sehingga 99.965%. Ia menjadikan cat itu kelihatan seperti lubang hitam dan ianya sangat mahal malah tidak dijual di pasaran terbuka.
Cat jenis Musou Black sebaliknya menyerap sebanyak 99.4% cahaya yang boleh dilihat dan menjadikannya cat kedua paling hitam di dunia. Ianya juga boleh didapati di Amazon dengan harga RM 78 untuk 100 ml.
Cat Musou Black telah menjadi berita sebelum ini, tetapi digunakan untuk mengecat objek atau buah. Hajime mungkin menjadi orang pertama yang menggunakan cat itu ke atas badan sendiri.
Menurut laman web Koyo Orient, cat itu dinasihatkan tidak digunakan ke atas kulit jika boleh.
Sumber: Oddity Central