Nak Kawal Wabak Selesema Burung, Eropah Dan UK Hapuskan 48 Juta Unggas
Dianggarkan sekitar 48 juta unggas (golongan burung) dihapuskan di seluruh United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU) ekoran wabak selesema burung terbesar yang pernah melanda sejak tahun lepas, lapor BBC semalam.
Difahamkan, sejak Oktober 2021 hingga 9 September angka penyakit itu direkod dan diterbitkan pada Isnin lalu menerusi hasil kerjasama Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA), Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) dan Rujukan EU Makmal untuk Selesema Burung.
Secara keseluruhan, sebanyak 47.7 juta burung telah dihapuskan selepas lebih 2,600 wabak selesema burung dikesan menjangkiti ternakan ayam dan unggas peliharaan sehingga 9 September.
Hasil laporan juga mendedahkan bahawa terdapat 3,573 kes direkodkan itu dalam burung liar sehingga virus itu telah menyerang 37 negara dari Svalbard ke selatan Portugal dan ke timur Ukraine.
Walaupun hanya angka tersebut dicatatkan, namun ia tidak boleh diambil ringan.
Tambahan pula, terdapat satu kes jangkitan terhadap manusia di barat daya England pada bulan Januari lalu meskipun tiada kes penularan manusia direkodkan di EU.
Pengarah ECDC, Andrea Ammon berkata semua pekerja yang bekerja dalam sektor pertanian dan penternakan sangat tinggi untuk terdedah kepada selesema burung.
Sehubungan itu, beliau menyeru majikan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan langkah-langkah kesihatan.
“Langkah berjaga-jaga diperlukan bagi mengenal pasti jangkitan virus influenza seawal mungkin dan memaklumkan mengenai tahap risiko serta tindakan kesihatan awam diambil,” katanya.
Di UK sahaja, sebanyak 3.2 juta burung dihapuskan dengan 161 kes direkodkan berkaitan wabak tersebut.
Ketua pegawai veterinar UK, Dr Christine Middlemiss, berkata tahap tinggi penyakit dalam burung liar mendorong bilangan kes di ladang komersial.
“Malangnya kami menjangkakan jumlah kes akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang apabila burung yang berhijrah kembali ke UK sekaligus bakal membawa bersama risiko penyakit yang boleh merebak dalam ternakan,” maklumnya.
Sementara itu, terdapat 1,727 kes selesema burung dalam populasi burung liar UK, di 406 lokasi yang melibatkan 59 spesies burung.
Ketua Eksekutif British Poultry Council, Richard Griffiths berkata bahawa ia merupakan musim selesema burung paling teruk setakat ini.
Berdasarkan tahun-tahun sebelum ini, kebanyakan virus tersebut hanya menyerang pada musim sejuk namun kini ia berterusan sepanjang tahun.
Perkara itu telah membuktikan bahawa ia lebih mudah berjangkit dalam kalangan burung.
Sumber: BBC News