Nak Lari Dari Gajah Tapi Masuk Ke ‘Mulut’ Buaya, Lelaki Dilapor Kudung Tangan & Kaki
Ibarat terlepas daripada mulut buaya masuk ke dalam mulut harimau, seorang lelaki dilaporkan berjaya melarikan diri daripada serangan gajah dengan terjun ke dalam sebatang sungai namun diserang buaya di Zimbabwe, lapor Daily Mail.
Memetik laporan tersebut, mangsa, 34, ketika itu dalam perjalanan ke kawasan memancing berhampiran sungai Mlibizi di sebuah perkampungan di barat negara itu.
Bagaimanapun, harinya bertukar malang apabila bertemu dengan seekor gajah dalam perjalanan.
Menurut lelaki terbabit, dia menyedari hanya dengan terjun ke dalam sungai menjadi satu-satunya langkah yang dapat menyelamatkan dirinya daripada dipijak mamalia itu.

Namun, siapa menyangka bahawa ada bahaya yang sudah menantinya di sana apabila diserang oleh seekor buaya sejurus terjun ke dalam sungai.
Susulan kejadian itu, mangsa hilang sebelah tangan dan kaki kirinya.
“Ketika cuba melarikan diri, tangan dan lengan saya digigit,” kata lelaki berusia 34 tahun itu.
Nasibnya baik apabila dapat meloloskan diri dari cengkaman bujang senang dan menjerit untuk meminta bantuan daripada orang berdekatan.

Dia kemudiannya diselamatkan oleh orang kampung dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Taman dan Hidupan Liar Zimbabwe, Tinashe Farawo menyifatkan bahawa ia adalah satu kejadian malang yang menimpa salah seorang penduduk Kampung Binga hingga hilang upaya.
“Kami menasihatkan agar orang ramai berhati-hati dan menghentikan aktiviti memancing di sekitar sungai untuk mengelak daripada serangan buaya,” katanya.
Lelaki tersebut telah mendapat sebuah kerusi roda selepas tragedi itu diketahui oleh seorang penyair Zimbabwe, Obert Dube.
Sumber: Daily Mail