Polis Mohon Bantuan Orang Ramai Kesan Wanita Hilang Di Melaka
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan seorang wanita berbangsa Cina berusia 55 tahun yang dilaporkan hilang sejak Mac lalu, lapor Utusan Malaysia.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, Koh Keng Jee yang tinggal di Taman Cheng Perdana telah keluar rumah pada 16 Mac lalu tanpa pengetahuan suaminya kira-kira pukul 8 pagi.

Menurut Christopher lagi, wanita itu berketinggian 160 sentimeter, berambut hitam paras bahu dan berkulit cerah. Kali terakhir dilihat sedang memakai baju-T dan berseluar panjang.
“Suaminya yang merupakan ahli perniagaan berumur 60 tahun itu turut menghubungi keluarga isteri dan rakan-rakannya, tetapi dia tidak menerima sebarang panggilan telefon atau apa-apa maklumat berkaitan kehilangan isterinya.
“Pengadu juga memaklumkan dia tidak mempunyai masalah dengan isterinya. Disebabkan bimbang keselamatan wanita itu, satu laporan polis dibuat pada 29 April lalu kira-kira pukul 2 petang di Balai Polis Tanjung Minyak,” kata Christopher kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Christopher lagi, hebahan itu telah dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi mengesan keberadaan wanita itu.
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai sebarang maklumat berkenaan hebahan itu digesa menghubungi Sarjan Ahmad Harus di talian 013-4025710.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Balai Polis Tanjung Minyak di talian 06-3353222,”ujarnya di akhir bicara.
Sumber: Utusan Malaysia