Lima Tahun Berumah Di Tanah Kubur, Wanita Dedah Pernah Dengar Suara Tangisan Dari Kubur
Cakap sahaja mengenai tanah kubur, sudah tentu akan ada sesetengah individu meremang bulu roma. Lebih-lebih lagi jika berada di kawasan perkuburan itu seorang diri pada waktu malam.
Rentetan daripada itu, pasti tidak akan ada manusia yang pernah terfikir untuk membina rumah di kawasan perkuburan.
Namun demikian, terdapat sebuah keluarga yang memilih untuk tinggal di dalam kawasan tanah perkuburan. Tidak dapat membayangkan bagaimana suasananya pada waktu malam.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Bu Ayu dilaporkan telah membina sebuah rumah di dalam kawasan perkuburan di Cirebon, Indonesia.
Jarak rumah dengan kubur tersebut sangat dekat kerana sebaik sahaja melangkah keluar daripada rumahnya akan terus disambut dengan ratusan kubur yang berdekatan.
Apa yang lebih menyeramkan lagi ialah ketika Bu Ayu mendedahkan sebab beliau dan keluarganya membina rumah di kawasan perkuburan melalui sebuah video di saluran Dendenny.
Memetik laporan Dream, dalam video tersebut Dendenny telah pergi melawat ke rumah Bu Ayu pada waktu malam.
Kehadiran Dendenny disambut oleh Bu Ayu yang sedang duduk bersantai di buaian. Menurut Bu Ayu, rumahnya merupakan satu-satunya kediaman yang dihuni oleh manusia di kawasan perkuburan Cirebon tersebut.
Selain itu, Bu Ayu juga mengatakan bahawa beliau bersama suami dan anak-anaknya menetap di rumah itu sudah lima tahun.
Kata Bu Ayu, pada mulanya tinggal di rumah di dalam kawasan perkuburan ini memang berasa takut. Tambahan pula, di belakang rumahnya terdapat sebuah sungai dan pokok besar yang kononnya menjadi perkampungan makhluk halus.
Menurutnya, walaupun tinggal berjirankan perkuburan, Bu Ayu sekeluarga tidak pernah diganggu oleh makhluk halus.
Beliau hanya merasakan suasana yang seram apabila waktu malam atau ketika waktu hujan. Namun, ianya bukan bermaksud tiada gangguan dalam bentuk lain.
Bu Ayu pernah mendengar bunyi suara tangisan dari kubur orang yang baru dikebumikan. Walau bagaimanapun, Bu Ayu tidak mengendahkan gangguan tersebut kerana berpendapat bahawa setiap orang yang meninggal dunia ini mempunyai faktor kematian yang berbeza.
“Ramai orang yang meninggal tetapi tidak tahu apa sebabnya,” kata Bu Ayu.
Namun demikian, apa yang lebih mengejutkan lagi adalah alasan Bu Ayu dan keluarganya memilih untuk tinggal di dalam kawasan perkuburan.

Katanya, mereka ingin merasakan bagaimana perasaannya tinggal bersama jiran yang telah meninggal dunia.
Bu Ayu berpendapat berjiran dengan orang mati lebih tenang dan tenteram berbanding berjiran dengan manusia.
“Ya, saya cuma ingin tahu. Di kampung, selalunya banyak manusia yang tinggal. Kalau di sini jirannya dengan orang yang dah mati.
“Lebih baik berkawan dengan makhluk halus berbanding manusia yang banyak ragamnya”, jelas Bu Ayu sambil ketawa bersahaja.
Kawasan tanah perkuburan yang didiami oleh Bu Ayu sekeluarga sangat terkenal di Cirebon. Hal ini disebabkan oleh ramai keluarga selebriti dan pegawai awam yang meninggal dikebumikan di kawasan itu.
Sumber: Dream