Nak Kekang Ketagihan Gajet, Kampung Di India Larang Guna Telefon Lepas 7 Malam
Sebuah perkampungan di India mempunyai cara yang unik bagi mengelak anak-anak dan keluarga mereka daripada ketagihan penggunaan digital.
Apabila jam menunjukkan 7 malam, semua penduduk akan mematikan TV dan peranti mudah alih mereka bagi melindungi anak mereka daripada ketagihan penggunaan digital, lapor Arab News.
Rutin harian bermula di Mohityanche Vadgaon pada 15 Ogos lalu ketika India menyambut 75 tahun kemerdekaannya. Sejak itu, kampung di daerah Sangli, Maharashta cuba melakukan pembebasan daripada penggunaan digital di kalangan penduduknya.
“Semua orang perlu berdisiplin. Ia adalah pembersihan penggunaan digital untuk seluruh kampung,” kata ketua kampung Vijay Mohite kepada Arab News.
Ketagihan digital telah mendapat perhatian pihak berkuasa dan ibu bapa di India berikutan sekatan wabak COVID-19 yang panjang telah menghalang kanak-kanak daripada melakukan aktiviti sekolah selama hampir dua tahun.
Sejak kelas atas talian bermula pada 2020, kajian oleh hospital di bandar Jaipur utara India telah memberi amaran bahawa 65 peratus daripada kanak-kanak bawah umur yang dikaji menunjukkan gejala ketagihan kepada telefon bimbit. Mereka tidak boleh meninggalkan peranti mereka selama lebih daripada 30 minit.
Pada Mac lalu, Menteri Elektronik dan IT, Rajeev Chandrasekhar memberitahu parlimen bahawa lebih daripada satu pertiga kanak-kanak di India mengalami penurunan fokus akibat penggunaan telefon bimbit.
Kesan akibat pembelajaran atas talian juga berlaku kepada penduduk di kampung Mohityanche Vadagon.
“Sekatan disebabkan COVID-19 dan pembelajaran atas talian menjadikan majoriti kanak-kanak dan pelajar yang bersekolah ketagih dengan telefon bimbit dan itu menjejaskan tingkah laku akademik dan emosi anak-anak muda.
“Kami juga faham bahawa ia seperti menghalang kepada arus pemodenan, tetapi penyingkiran digital adalah penting jika ibu bapa di kampung ini mahu anak-anak mereka mempunyai masa depan yang cerah,” kata Mohite lagi.
Inisiatif yang diambil oleh ketua kampung dan kesedaran ibu bapa telah membuat perubahan dalam tingkah laku anak-anak di sekolah.
Beliau menyatakan bahawa penyingkiran digital harian, walaupun dalam tempoh hanya 90 minit ianya sangat membantu meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak.
Malah selepas sebulan tempoh penyingkiran digital itu dilakukan, pelajar sudah mula menunjukkan kreativiti dan fokus dalam pembelajaran.
Sumber: Arab News