Siakap Keli
ronaldo 700 gol
Gambar: EPL

‘Aura CR7’ Kembali, Ronaldo Berjaya Rekod 700 Jaringan Kelab

Penyerang Manchester United Cristiano Ronaldo akhirnya berjaya mencatat rekod jaringan kelab ke-700 selepas meledak gol kedua ketika menentang Everton awal pagi tadi.

Angka 700 gol itu diperolehinya sepanjang beraksi dalam 944 perlawanan melibatkan semua kelab pernah disertainya bermula Sporting Lisbon, United, Real Madrid dan Juventus.

Ronaldo masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa pertama menggantikan Anthony Martial serta tidak menunggu lama untuk membawa United mendahului perlawanan.

Rakan sepasukannya, Bruno Fernanades berkata ledakan gol untuk Ronaldo sukar dilakukan kerana setiap minggu pemain itu sentiasa cuba merekodkan jaringan gol baharu.

“Saya sangat gembira kerana dia telah bekerja keras untuk mendapatkan gol ini.

“Hari ini dia telah menjaringkan gol dan meraih kemenangan, itu merupakan yang paling penting baginya, untuk memastikan pasukan menang,” katanya selepas perlawanan memetik ESPN.

Tetapi mercu tanda itu datang pada masa yang sukar untuk Ronaldo selepas musim panas yang panjang sehingga menyebabkan beliau kekal di United.

Pada awalnya, beliau ingin meninggalkan United untuk terus bermain dalam Liga Juara-Juara namun beberapa kelab termasuk Chelsea, Bayern Munich, Paris Saint-German telah menolak peluang untuk mengambilnya sebagai pemain.

Selepas Erik Ten Hag menguasai United, Ronaldo dihadkan minit bermain dan diletakkan di bangku simpanan namun beliau berjaya menjaringkan gol pada musim ini menerusi sepakan penalti menentang Shefirff Tiraspol dalam Liga Eropah.

Ronaldo buat come back

Imbas kembali perlawanan ke-10 Liga Perdana (EPL) malam tadi, gawang United bocor seawal minit kelima oleh sepakan padu jarak jauh dari penyerang Everton Alex Lwobi.

Bagaimanapun skuad Ten Hag tidak perlu menunggu lama apabila bekas bintang Ajax, Antony tenang menyumbat gol pertama United bagi menyamakan kedudukan 1-1 10 minit kemudian.

Asakan demi asakan dilakukan Everton sehinggalah pada hampir minit ke-44, pegangan bola di kaki Lwobi ketika berada tidak jauh dari kotak penalti United terlepas dan pantas dirampas Casemiro.

Seakan sudah ‘membaca’ pergerakan Ronaldo, Casemiro tidak menunggu lama untuk memegang bola, sebaliknya terus menghantar kepada penyerang senior 37 tahun itu yang sudah bersedia jauh di depan.

Aksi Ronaldo berlari laju mengawal bola bersendirian di sayap kiri padang ternyata membangkitkan suasana, seolah-olah kelibat dirinya yang ‘sebenar’ sebagai seorang penyerang berbisa sudah kembali.

Usai melepasi garisan kotak penalti Everton, Ronaldo tidak teragak-agak untuk membuat sepakan leret ke gawang gol skuad Lampard sekali gus meledak gol kedua buat United pada minit ke-44.

Perlawanan pada separuh masa kedua tidak mempunyai sebarang perubahan walaupun Everton lebih banyak mengasak serangan bertubi-tubi di depan gawang gol United 10 minit terakhir.

Bagaimanapun tiada sebarang gol dilakukan justeru keputusan 2-1 United ke atas Everton di Goodison Park awal pagi tadi kekal hingga ke wisel penamat.

Kemenangan United tersebut sekali gus melonjakkan kedudukan kelab itu ke tempat kelima dalam carta EPL di bawah pendahulu Arsenal, Manchester City, Tottenham dan Chelsea.

Rekod jaringan

Menurut ESPN, Ronaldo telah menjaringkan 144 gol untuk United dalam dua musim, 450 gol untuk Real Madrid dari 2009 hingga 2018, 101 gol untuk Juventus dan lima gol untuk Sporting Lisbon.

Pernah menyumbang 50 kali hatrik, 129 gol yang mengagumkan datang dari sepakan penalti dan beliau telah menikmati tahun-tahun gemilangnya di LaLiga di mana turut pernah meledak 311 gol dalam 292 penampilan.

Selain itu, beliau juga merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan 140 gol dalam 183 penampilan, 13 gol melebihi ‘musuh tradisinya’ dari Argentina, Lionel Messi.

Difahamkan Ronaldo hanya gagal menyumbang gol dalam satu perlawanan peringkat kelab bagi piala Community Shield.

Di samping itu, beliau juga pernah melakar pengalaman cemerlang di Real Madrid pada musim 2014/2015 dengan rekod jaringan 61 gol dalam 54 perlawanan dengan nisbah lebih 1.12 gol setiap perlawanan.

Bagaimanapun laporan ESPN mencatatkan peringkat paling cemerlang pernah dirangkulnya adalah ketika 2013 lalu di mana beliau menjaringkan 59 gol  dalam 50 perlawanan.

Selain itu, Ronaldo merupakan penjaring antarabangsa lelaki tertinggi  dengan 117 gol dalam 189 perlawanan untuk skuad kebangsaan Portugal dan baru-baru ini berkata mahu beraksi dalam Kejohanan Eropah 2024.

Sumber: ESPN

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.