Suruhanjaya Plihan Raya Malaysia (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kini dibuka serta-merta.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Dato’ Indra Ikmalrudin Ishak berkata pihak SPR mengambil maklum sejurus pengisytiharan pembubaran Parlimen Penggal ke-14 yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob setelah diperkenankan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 Oktober hari ini.
Dalam kenyataan tersebut, SPR menjelaskan bahawa untuk permohonan undi pos bagi kategori 1A seperti petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media hendaklah memohon secara manual menggunakan borang 1A yang dimuat turun melalui portal rasmi SPR, https://www.spr.gov.my sebelum dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya tersebut.
Tambahnya, alamat dan maklumat Pejabat Pegawai Pengurus juga boleh dirujuk di laman rasmi itu.
“Manakala bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) & 1C (agensi/organisasi) pula permohonan hendaklah dikemukan secara dalam talian online melalui portal rasmi https://myspr.spr.gov.my/login,” jelasnya.
Sementara itu, bagi tarikh tutup permohonan akan diberitahu kelak selepas SPR menjalankan mesyuarat untuk menentukan tarikh-tarikh pilihan raya, maklumnya dalam kenyataan tersebut.
“SPR juga ingin memaklumkan bahawa satu mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU ke-15 dengan turut mengambil kira pelaksanaan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah akan diadakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.