Gara-gara ‘berkunjung’ ke rumah bomoh kononnya meminta bantuan masalah rumah tangga, seorang wanita yang juga isteri orang dicekup penguat kuasa agama kerana disyaki berdua-duaan bersama ‘perawat’ terbabit dalam kejadian di Bedong, Sungai Petani Jumaat lalu.
Lapor Kosmo!, menurut Pegawai Agama Daerah Kuala Muda (PADKM), Mohd. Noor Ismardi Ismail, segalanya bermula apabila orang awam telah membuat laporan mengenai kelibat wanita tersebut di rumah berkenaan dan pihaknya menerima laporan pada Khamis sebelum itu.
Justeru satu operasi serbuan dilakukan pada 2 pagi hari kejadian, namun bomoh berusia 65 tahun terbabit mencabar anggota penguat kuasa agama supaya melakukan pemeriksaan di dalam rumahnya sekiranya benar terdapat wanita di dalamnya.
Bagaimanapun tindakan berani bomoh terbabit akhirnya mengundang padah apabila anggota penguat kuasa PADKM bersama pertubuhan bukan kerajaan, Skuad Badar berjaya menjumpai seorang wanita dalam keadaan berkemban sedang bersembunyi di tingkat atas rumah itu.
“Ketika pihak kami memperkenalkan diri untuk membuat pemeriksaan, lelaki tersebut (bomoh) yang hanya berseluar pendek memberitahu dia berada di rumahnya seorang diri.
“Bagi menyakinkan anggota penguat kuasa, lelaki itu mempelawa pemeriksaan dilakukan di dalam rumah berkenaan. Pihak kami menjumpai seorang wanita dalam kedaan berkemban di tingkat atas rumah tersebut,” kata Mohd. Noor.
Hasil siasatan mendapati, wanita itu sudah berkunjung serta bermalam beberapa kali di rumah lelaki tersebut.
Difahamkan, Mohd. Noor berkata bomoh itu tinggal seorang diri ekoran anaknya menjaga isterinya yang lumpuh.
“Lelaki tersebut tinggal seorang diri kerana isterinya yang lumpuh dijaga oleh anak mereka yang tinggal di luar daerah ini.
“Wanita itu mengaku dia mengunjungi rumah bomoh tersebut untuk mendapatkan bantuan bagi memudahkan proses perceraian bersama suaminya,” ujarnya lagi.
Pasangan tersebut akhirnya ditahan kerana dilapor melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.
Dalam pada itu, Mohd. Noor berkata soal siasat terhadap pasangan itu akan dibuat di Ibu Pejabat Daerah Kuala Muda sebelum dikenakan tindakan undang-undang di Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.
Sumber: Kosmo!