Gara-gara terlupa tanggalkan setiap kali sebelum tidur, seorang wanita di US dilapor terpaksa memakai kanta sentuh baharu setiap pagi selama 23 hari berturut-turut.
Pakar oftalmologi, Dr Katerina Kurteeva M.D berkata kejadian itu jarang berlaku kerana kebiasaannya si pemakai akan terus menanggalkan kanta sentuh sebelum tidur namun kes ini merupakan sebaliknya.
“Peristiwa yang jarang berlaku apabila seseorang ‘terlupa’ untuk menanggalkan kanta sentuh pada waktu malam dan terus masukkan kanta baru setiap pagi.
“23 hari berturut-turut dia melakukan perkara sedemikian. Saya mengeluarkan banyak kanta sentuh di klinik saya disebabkan kejadian itu,” katanya menerusi Instagram.
Difahamkan, wanita tersebut terlupa mengenai pemakaian kanta sentuh seharian dan apabila menjelang waktu malam dia terus tidur tanpa menanggalkan kanta itu.
Sehubungan itu akibat buruk yang terjadi adalah kesemua kanta yang terlupa untuk ditangggalkan ‘termasuk’ ke sebalik mata dan ‘bersarang’ di sana tanpa boleh dikeluarkan lagi.
Ekoran itu wanita terbabit terpaksa mendapatkan bantuan prosedur perubatan untuk mengeluarkan kembali semua kanta sentuh tersebut.


Ujar Katerina, pengasingan kanta sentuh telah dibuat dan beliau terpaksa menggunakan peralatan pembedahan untuk membuang objek berkenaan di mata wanita itu.
“Saya telah mengasingkan semua kanta sentuh dengan teliti dan jumlah keseluruhan kanta sentuh itu mencecah sehingga angka 23.
“Saya terpaksa menggunakan alat pembedahan yang sangat halus iaitu forsep untuk mengasingkan kanta sentuh kerana ianya sudah melekap di bawah kelopak mata selama sebulan,” tambahnya.
Video tersebut tular di media sosial hingga membuatkan warganet berasa gerun malah memberi peringatan kepada mereka mengenai kepentingan penjagaan pemakaian kanta sentuh.
Katerina berkata beliau berasa gembira kerana berpeluang mendidik orang ramai mengenai pemakaian kebersihan kanta sentuh.
Tips pemakaian kanta sentuh
Penjagaan kanta sentuh amat penting ekoran ia melibatkan mata yang merupakan tempat sensitif dan perlu dijaga dengan baik.
Oleh itu, pengguna dinasihatkan untuk tidak memakai kanta lebih lama dari tempoh yang diberitahu dan tidak lebih dari 16 jam dalam sehari.
Memetik BBC, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak memakainya dalam tidur melainkan ia direka khas untuk dipakai semalaman.
Seterusnya, pengguna hendaklah basuh dan keringkan tangan dengan teliti sebelum memegang kanta untuk diletakkan ke dalam mata.
Pengguna juga perlu meletakkan kanta sentuh sebelum memulakan solekan mata dan tidak dibenarkan untuk berenang apabila memakainya.
Selain itu, bekas kantan sentuh perlu diganti dengan kerap untuk mengurangkan risiko jangkitan dan sekiranya tanda kemerahan atau sakit mula muncul, digalakkan untuk berjumpa dengan pakar optometris dengan segera.
Namun jika berasa takut dan tidak tahu mengenai penjagaan kanta sentuh, orang ramai perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar optik supaya mempunyai ilmu mengenai kanta sentuh.
Video penuh proses pengeluaran 23 kanta sentuh berkenaan turut dimuat naik di laman Instagram California Eye Associates seperti di bawah.
Sumber: Instagram / @california_eye_associates