Kanak-Kanak Alami Detik Cemas, Jantung Terhenti Lepas Disengat Obor-Obor
Seorang kanak-kanak perempuan warga Israel yang berusia enam tahun mengalami serangan jantung selepas disengat obor-obor berbahaya lapor Kementerian Luar Negeri Thailand kepada The Thaiger.
Jantung kanak-kanak Israel itu terhenti selepas dia disengat obor-obor kotak beracun di sebuah pantai di Ko Pha Ngan pada Ahad lalu.
Dia telah diberikan pertolongan cemas terlebih dahulu di pantai sebelum diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Surat Thani.
Kementerian Luar Thailand semalam melaporkan bahawa keadaan gadis itu kini stabil dan mereka juga telah berhubung dengan ibu bapa kanak-kanak terbabit.
Konsul Israel di Bangkok, Eli Senna berkata ia adalah sebuah keajaiban kerana kanak-kanak itu boleh terselamat dari menerima sengatan obor-obor tersebut.
“Sekiranya mereka tidak mula merawat gadis itu dengan segera selepas dia disengat, keadaan akan menjadi lebih tragis. Kami benar-benar gembira kerana semuanya selesai, kami terus menemani keluarga dan membantu yang termampu,” kata Eli Senna.

Obor-obor kotak atau tebuan laut, dianggap sebagai salah satu spesies paling mematikan di dunia. Sesungutnya boleh membesar sehingga kira-kira lima meter penjang dan setiap sesungut dilindungi oleh nematocysts sebagai dart kecil yang sarat dengan racun.
Racun dari dart itu dipercayai antara yang paling beracun di dunia. Ia menyebabkan kesakitan yang teruk, lumpuh, serangan jantung dan juga membawa kematian dalam beberapa kes.
Obor-obor kotak boleh ditemui sepanjang tahun di Teluk Thailand dan Laut Andaman. Obor-obor berbisa ini banyak ditemui bermula dari Julai hingga Oktober, menurut Sophon Golden dari Jabatan Sumber Laut dan Pantai.
Sumber: The Thaiger