Lelaki Kesal Tunggu Makanan Selama Empat Jam Tak Sampai, Rupanya “Order” Tak Masuk
Seorang lelaki mendakwa bahawa dia terpaksa menunggu selama empat jam untuk pesanan makanannya sampai namun didapati beberapa hari kemudian bahawa pesanan itu tidak pernah dibuat, lapor Mirror.
Lelaki itu dikatakan telah membuat pesanan pada malam Sabtu untuk dinikmati bersama keluarganya di rumah.
Lelaki berusia 35 tahun itu memberitahu kepada Lancs Live bahawa dia memesan dari sebuah restoran tempatan. Restoran yang terletak di Blackpool itu dikatakan telah berulang kali dikunjunginya sebelum ini.
Dia menggunakan aplikasi pesanan makanan dan membuat pesanan untuk hidangan Munchy Box pada 8.24 malam pada hari Sabtu, 1 Oktober lalu.
Kemudian satu notifikasi masuk yang mengatakan bahawa dia telah berjaya melakukan pesanan hidangan perkongsian Munchy Box itu.
Pesanan yang dibuat untuk dia, isteri dan adik lelakinya itu mengandungi hidangan ayam lada sulah, kepak ayam, kerepek, bebola, nasi goreng telur, mi, spring roll sayuran dan sos kari.
Pada jam 10.30 malam, kira-kira dua jam selepas membuat pesanan, dia memberitahu bahawa masih tiada tanda-tanda makanan sedang dihantar atau dalam perjalanan.
Sementara itu, dia masih yakin dengan pesanan yang telah dia lakukan, namun dia kemudian menelefon ‘takeaway’ untuk mengetahui status lanjut pesanan makanannya.
“Isteri saya membuat panggilan itu untuk mendapatkan maklumat. Saya fikir mungkin mereka sedang sibuk atau tertinggal pesanan,” kata lelaki itu kepada Lancs Live.
“Mereka meminta alamat dan poskod kami dan berkata bahawa ia akan mengambil masa kira-kira setengah jam. Selepas 45 minit berlalu, masih tiada apa-apa yang terjadi. Jadi kami menelefon semula untuk mendapatkan kemas kini pesanan kami itu,” kata lelaki itu.
Dia memberi alamatnya sekali lagi dan diminta untuk menunggu kira-kira 10 minit. Selepas 45 minit berlalu, pesanan masih tidak sampai dan dia mengambil keputusan untuk memandu ke restoran di mana dia mendapati restoran itu sudah tutup.
Dia sangat marah tentang kejadian itu dan mengambil keputusan untuk membuat pesanan di tempat lain. Dia juga berkata, bahawa dia telah membayar dua kali untuk makan malam mereka itu.
Beberapa hari kemudian lelaki itu mendapat panggilan daripada restoran itu dan meminta maaf atas kejadian tersebut.
Pemilik restoran itu menambah bahawa mereka tidak menerima sebarang pesanan dihantar kepada mereka oleh aplikasi itu, sebab itulah pesanan yang dibuat lelaki tersebut tidak sampai ke rumahnya pada malam itu.
Lelaki itu kemudian ditawarkan untuk bayaran balik dan pilihan untuk menuntut makanan percuma oleh syarikat aplikasi tersebut. Tidak lama kemudian, dia dihubungi oleh syarikat itu yang mengatur pembayaran semula kepadanya.
Sumber: Mirror