Siakap Keli
ceroboh privasi awam kena akta
Kredit: Kompas.com

Sebar Gambar & Ceroboh Privasi Orang? Jaga-jaga, Anda Boleh Dikenakan Dua Akta Ini

Baru-baru ini kita dihangatkan mengenai isu pendedahan gambar seorang bayi di media sosial sehingga ianya menjadi topik perbualan orang ramai. Difahamkan gambar itu dipercayai diambil dan disebarkan oleh awam tanpa izin ibu bayi berkenaan.

Walaupun media sosial merupakan tempat perkongsian namun tidak semua perkara perlu dikongsi lebih-lebih lagi apabila melibatkan privasi seseorang seperti menyebarkan gambarnya ke tempat awam tanpa izin.

Sungguh pun teknologi kini berada pada tahap canggih namun penyebaran gambar membolehkan privasi seseorang itu hilang dan membuatkan dia tidak bebas untuk membuat apa-apa ekoran orang ramai memperhatikan gerak gerinya.

Hakikatnya bukan semua orang terkejar-kejar akan dunia glamour dan sesetengah daripadanya hanya mahu hidup ‘biasa-biasa’, aman tanpa privasi diceroboh daripada dijadikan sebagai pusat perhatian oleh awam.

Malah tindakan menyebarkan gambar seseorang individu tanpa kebenarannya hingga membuatkan dirinya dimalukan, diganggu, diancam dan seumpamanya boleh dikategorikan sebagai perbuatan buli siber atau cyber bully.

Dengan penggunaan teknologi yang makin memuncak semakin ramai yang dibimbangi mengambil peluang untuk menceroboh privasi orang untuk dijadikan ‘content’ di media sosial susulan mahu dunia memberikan perhatian sepenuhnya kepada kandungannya.

Dua akta dikenakan sekiranya ceroboh privasi

Gambar hiasan via Awani

Oleh itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM/MCMC) dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) mempunyai dua peruntukan utama yang digunakan dalam mengambil tindakan ke atas perkara berkaitan kandungan yang disebarkan oleh orang ramai.

Perkara ini dibahas dan dijelaskan di bawah artikel bagaimana pihak SKMM menangani aduan mengenai kandungan yang menyinggung perasaan orang ramai di internet seperti yang ditulis di portal suruhanjaya tersebut.

Seksyen 211 Larangan Terhadap Pemberian Kandungan Jelik

(1) Tiada pembekal perkhidmatan aplikasi kandungan atau mana-mana individu yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan boleh menyediakan kandungan yang tidak senonoh, lucah, palsu, mengancam, atau sifat menyinggung perasaan dengan niat untuk menjengkelkan, menyalahgunakan, mengancam atau menganggu mana-mana orang.

(2) Seseorang yang melanggar subseksyen (1) boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Boleh juga didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 untuk setiap hari atau sebahagian daripada sehari di mana kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Seksyen 233 Penggunaan Tidak Wajar Kemudahan Rangkaian atau Perkhidmatan Rangkaian

(1) Seseorang yang:

a. Bermaksud sebarang kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar:

  1. Membuat, mencipta atau meminta dan
  2. Memulakan penyebaran, sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung perwatakan dengan niat untuk mengganggu, mendera, menggugut atau menganggu orang lain; atau

b. Memulakan komunikasi menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi sama ada secara berterusan, berulang kali atau sebaliknya semasa komunikasi mungkin atau mungkin tidak berlaku dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk mengganggu, menyalahgunakan, mengancam atau menggangu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, melakukan kesalahan.

(2) Seseorang yang secara sedar:

a. Melalui perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi menyediakan sebarang komunikasi lucah untuk tujuan komersial kepada mana-mana orang; atau

b. Membenarkan perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalan orang itu digunakan untuk aktiviti yang diterangkan dalam perenggan (A), melakukan satu kesalahan.

(3) Seseorang  yang melakukan kesalahan di bawah seksyen ini boleh disabitkan dan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Malah individu yang didapati masih melakukan kesalahan sama selepas pensabitan, boleh dikenakan denda RM1,000 bagi setiap hari (kesalahan selepas sabitan) atau sebahagian daripada sehari.

Kesimpulannya jadilah pengguna yang bijak dan pencipta kandungan yang memberi manfaat kepada orang ramai tanpa menceroboh privasi sesiapa.

Sumber: MCMC

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana