“Ini Adalah Ucapan Terakhir Saya…,” Bekas MB Pahang, Adnan Yaakob Umum Bersara
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai dan juga bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob hari ini mengumumkan persaraannya, setelah 36 tahun berbakti kepada rakyat, lapor Astro Awani.
Beliau berkata, kepercayaan yang telah diberikan rakyat kepadanya selama lapan penggal ini telah melayakkan dan membuka peluang untuknya menjadi Menteri Besar Pahang selama 19 tahun.
“Kita semua sedia maklum, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan dibubarkan dalam sedikit masa lagi.
“Jadi saya menganggap ini adalah ucapan terakhir saya dalam dewan sebelum saya bersara sepenuhnya setelah berkhidmat sebagai ADUN selama 36 tahun, dua bulan dan tujuh hari,” katanya.
Tan Sri Adnan Yaakob mengumumkan persaraannya itu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang yang ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pada Selasa lalu.
Beliau turut berkesempatan menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang pernah bersama-samanya dalam mentadbir kerajaan negeri Pahang selama beliau menjadi wakil rakyat di negeri tersebut.
Dalam ucapannya lagi, beliau bersyukur kerana Pahang kini berada di bawah pentadbiran yang baik dibawah pimpinan Menteri Besar baharu, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang meneruskan misi bagi membantu rakyat.
“Saya ingin menyatakan bahawa Negeri Pahang bernasib baik kerana mendapat hamba Allah bernama Wan Rosdy, anak kelahiran Lipis yang menjadi Menteri Besar.
“Nyata sekali selain pengalaman dan kelayakan, Menteri Besar Wan Rosdy ini mempunyai ‘temperament’ (perangai) yang baik maknanya tidak beremosi, tidak marah, tidak mudah teruja macam sesetengah orang,”kata beliau lagi.
Beliau juga berharap agar Wan Rosdy dapat meneruskan perkhidmatan cemerlang dan menambah baik serta melakukan pembangunan baharu dibantu oleh kepimpinan negeri yang lain dalam memberi bakti kepada rakyat negeri Pahang.
“Saya percaya, Wan Rosdy akan dapat mengemudi Barisan Nasional pada pilihan raya ini dan Insya-Allah dapat membentuk Kerajaan Negeri Pahang,”ujar Tan Sri Adnan Yaakob.
Sumber: Astro Awani