Kenapa Masa “Jogging” Perut Rasa Kejang & Senak? “Sports Physician” Apa Yang Berlaku & Ini Puncanya
Bersenam seperti jogging adalah amalan hidup sihat yang sering dilakukan oleh setiap golongan sama ada tua mahupun muda. Dengan bersenam, ia mampu membuatkan tubuh badan kita lebih sihat dan cergas setiap masa.
Namun, amalan pemakanan sihat juga perlu berjalan seiring dengan bersenam kerana ia juga salah satu faktor badan kita mudah terkena penyakit seperti diabetes dan sebagainya. Oleh itu, dalam kita bersenam, makan makanan yang sihat juga penting.
Berbalik kepada aktiviti bersenam, semasa anda melakukan larian seperti jogging dan sebagainya, pernah tak mengalami kekejangan pada bahagian perut? Pernah anda terfikir apakah puncanya? Merungkai persoalan ini, kami sertakan jawapan dari salah seorang Sports Physician.
Menerusi laman Twitter milik Kurt Kuden yang juga merupakan seorang Sports Physician menjelaskan punca ia terjadi dan cara untuk mengatasi masalah tersebut.
Menurutnya, masalah kekejangan otot merupakan perkara yang biasa berlaku semasa melakukan aktiviti senaman seperti berlari atau pun berenang. Untuk mengetahui lebih mendalam mengenai hal ini, ikuti perkongsian beliau yang telah kami sertakan di bawah, semoga bermanfaat.
Kejang perut ketika berlari/jogging
Mengalami kekejangan pada bahagian otot perut atau dalam bahasa Inggeris ia juga disebut sebagai ‘side-stitch’ adalah situasi yang biasa berlaku semasa kita berlari, berenang dan beberapa aktiviti lain yang bersifat sementara. Dalam istilah perubatan, ia juga digelar exercise related transient abdominal pain (ETAP).
Terdapat banyak teori yang menjadi penyebab kepada permasalahan ini, namun yang paling dipersetujui oleh ramai pakar adalah berlakunya geseran pada lapisan dinding abdomen (irritation of the parietal peritoneum) ketika melakukan aktiviti.

Antara teori lain adalah berlakunya tekanan pada bahagian ligamen bawah diafragma, gangguan saluran pencernaan, kejang otot dan beberapa lagi teori lain.
Selalunya ia sering dialami oleh golongan muda yang berada dalam lingkungan usia bawah 20 tahun. Selain itu, kurang persedian dari segi fizikal (physical deconditioning) termasuk tidak melakukan ‘warm-up” dengan cukup juga salah satu faktor ia berlaku.
Dalam pada itu, postur badan yang membungkuk (kyphosis) juga menjadi salah satu punca kekejangan perut berlaku. Pengambilan makanan atau minuman hipertonik (tinggi gula/carbo) juga boleh menjadi punca hal ini berlaku.
Sebagai langkah pencegahan, yang paling utama adalah kita perlua meningkatkan kecergasan fizikal (physical conditioning) serta menguatkan otot teras badan (core stability and strength).

Selain itu, strategi permakanan dan minuman juga penting sebelum kita melakukan sebarang aktiviti. Pengambilan makanan dalam porsi yang banyak perlu dielakkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam sebelum melakukan aktiviti. Semasa melakukan aktiviti pula, dinasihatkan untuk minum dalam kuantiti yang sedikit dan berkala. Elakkan hypertonic fluid.

Terdapat juga beberapa teknik untuk mengatasi masalah side-stitch ini antaranya adalah teknik pernafasan dalam (deep breathing technique), melakukan regangan pada bahagian yang mengalami kekejangan atau dengan cara membungkuk ke depan (Bending forward position).
Kesimpulannya, anda mungkin perlu mengambil serius mengenai aktiviti memanas badan sebelum mula berjogging selepas ini kalau tak nak perut anda kejang nanti. Apa pun, semoga perkongsian yang dibuat oleh Kurt Kuden ini memberi manfaat kepada anda semua.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
Sumber: Kurt Kuden (Twitter)