Kerajaan Setuju Struktur Semula Empat Syarikat Konsesi Lebuh Raya, Kurangkan Kadar Tol – PM
Kerajaan pada hari ini telah bersetuju bagi cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dan pengurangan kadar tol bagi lebuh raya yang terlibat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berdasarkan laporan Bernama, Perdana Menteri berkata pengurangan kadar tol itu melibatkan empat syarikat lebuh raya konsesi. Antara yang terlibat adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK). Pengurangan kadar tol tersebut akan berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam, 20 Okt ini.
Pengurangan kadar tol bagi Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad pula akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2023 tahun hadapan.
“Kesemua kerja-kerja penambahbaikan yang telah saya maklumkan sebentar tadi, mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.
“Melalui penstrukturan terbaharu ini, kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terlibat. Pengguna lebuh raya pula bakal menikmati kadar tol yang lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup,” kata beliau.
Perkara itu diucapkan oleh Perdana Menteri ketika merasmikan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), di sini hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah dalam menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong.
Beliau juga berkata bahawa kerja-kerja tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) juga akan dilakukan berikutan susulan kejadian banjir yang kerap kali berlaku di lebuh raya berkenaan.
Kerajaan menyokong penuh segala usaha dan komitmen yang berterusan oleh syarikat konsesi dalam merancakkan pembangunan infrastruktu negara dan sekali gus membuktikan keberkesanan projek Perkongsian Awam Swasta antara pihak PROLINTAS dan kerajaan.
Beliau berkata lagi, lebuh raya sepanjang 20.1 kilometer (km) dari Puncak Perdana ke Penchala itu (55.4 km panjang keseluruhan termasuk susur persimpangan) dijangka mampu merancak pembangunan dan merangsang pertumbuhan kawasan-kawasan ekonomi seperti perumahan dan komersial baharu di sepanjang lebuh raya termasuk Puncak Alam, Elmina dan Kwasa Damansara.
“Pembangunan industri lebuh raya memainkan peranan besar dalam usaha membangunkan negara terutamanya daripada aspek ekonomi dan infrastruktur dengan wujudnya kawasan-kawasan pembangunan baharu pada sepanjang jajaran lebuh raya.
“Projek Lebuhraya DASH ini merupakan satu daripada 53 projek berimpak tinggi dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta menyediakan banyak kegiatan ekonomi yang lebih berdaya maju,” kata beliau.
Menurutnya lagi menerusi pembinaan Lebuhraya DASH, sebanyak 12,000 peluang pekerjaan dicipta yang membabitkan dalam bidang pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak.
Kata beliau lagi lebuh raya yang mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap 30 Sept lepas itu mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi strategik. Ketika waktu puncak kesesakan lalu lintas bakal dapat dikurangkan sehingga 40 peratus seperti di sepanjang Persiaran Mokthar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian.
Pada waktu puncak dari Persimpangan Puncak Perdana ke Persimpangan Penchala dijangkakan dapat dijimatkan kepada 30 minit berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama lebih kurang satu jam 30 minit.
“Lebuhraya DASH merupakan laluan alternatif kepada pengguna di sebelah barat, Shah Alam untuk melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan kesesakan, tempoh perjalanan dan menyuraikan trafik secara lebih berkesan,” katanya.
Selain itu, kata beliau pembinaan Lebuhraya DASH juga telah menerapkan elemen-elemen kelestarian selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030. Pembinaan itu juga telah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Indeks Lebuh Raya Hijau Malaysia (MyGHI) yang merangkumi segenap rantaian nilai pembangunan infrastruktur serta mengambil kira faktor alam sekitar dengan penarafan tahap ‘Gold’.