Siakap Keli
Gambar: Men's Health

Lelaki Lebih Cepat Tua Berbanding Wanita – Kajian

Lelaki Lebih Cepat Tua Berbanding Wanita – Kajian

Kaum lelaki lebih cepat menua berbanding kaum wanita, dakwa pakar.

Penyelidik dalam bidang anti-penuaan mendapati bahawa lelaki yang berusia 50-an secara biologinya empat tahun lebih tua daripada wanita.

Tambahan pula, jarak usia tersebut sudah wujud dalam usia 20-an lagi, nyata kajian yang dijalankan.

Memetik laporan Daily Mail, para saintis telah membandingkan umur kronologi beribu-ribu sukarelawan berkaitan tarikh lahir  dengan umur biologi mereka.

Kajian ini dilaksanakan dengan menggunakan ujian yang menganggarkan penurunan badan berdasarkan penanda halus yang melekat pada DNA manusia.

Pakar anti-penuaan dari Finland berkata lelaki yang berumur antara 50-an hingga 70-an, akan tua empat tahun daripada kaum wanita. Hal ini diambil kira dengan membandingkan umur kronologi dengan umur biologi mereka.

Hal ini juga dikira dengan membandingkan umur kronologi mereka seperti umur yang tercatat dalam sijil kelahiran dan umur biologi mereka, yakni bagaimana sel-sel badan menentukan umur seseorang.

Gambar: Daily Mail

Graf di atas menunujukkan bagaimana umur biologi lelaki lebih cepat tua daripada wanita ketika berusia antara 21 tahun hingga 42 tahun (kiri) dan 50 tahun hingga 76 tahun (kanan)

Walaupun kajian tersebut mendedahkan jarak penuaan antara lelaki dan wanita namun, ahli akademik Finland percaya bahawa ia akan mengecil dari semasa ke semasa.

Faktor yang menyebabkan lelaki lebih cepat berumur berbanding wanita ini dikatakan berkemungkinan daripada merokok.

Jumlah lelaki yang merokok di Finland telah menurun daripada 37% pada 1970-an kepada 17% pada masa ini. Manakala kaum wanita pula kekal 15%.

Pasukan penyelidik daripada Universiti Jyväskylä mengatakan bahawa Indeks Jisim Tubuh (BMI) merupakan salah satu daripada faktor yang menyebabkan penuaan.

Menurutnya, kaum lelaki cenderung untuk mempunyai berat badan yang berlebihan berbanding wanita.

Dalam sebuah jurnal bertajuk The Journals of Gerontology: Siri A telah menjelaskan sebab mengapa wanita cenderung untuk hidup lebih lama berbanding lelaki.

Wanita di Britain mempunyai jangka hayat 83 tahun berbanding lelaki yang hanya 79 tahun. Manakala di Amerika Syarikat pula, wanita lebih cenderung untuk hidup sekitar lima tahun lebih lama, lapor Daily Mail.

Para penyelidik mengkaji umur biologi sekitar 2,240 orang kembar dan diasingkan kepada dua kumpulan bergantung pada umur mereka. Seorang dibahagikan kepada kumpulan 21-42 tahun, manakala seorang lagi di dalam kumpulan 50-76 tahun.

Dalam kajian tersebut, kira-kira 151 pasangan kembar yang dikaji merupakan adik beradik lelaki dan perempuan. Mereka membenarkan penyelidik untuk mengawasi genetik dan gaya hidup mereka.

Jam epigenetik digunakan untuk menganggarkan umur biologi mereka supaya dapat mengukur tahap metilasi DNA.

Kaedah ini digunakan bertujuan untuk melihat sejauh mana molekul khas yang dipanggil sebagai methyl melekat pada DNA dalam sel badan seperti teritip yang melekat pada kapal dan memperlahankannya.

Selain itu, penyelidik juga menggunakan empat jam epigenetik yang berbeza untuk mendapatkan anggaran umur biologi yang paling tepat.

Tahap pendidikan, BMI, tahap merokok, minuman dan aktiviti fizikal juga diambil untuk melihat faktor yang mempengaruhi kadar penuaan mereka.

Keputusan menunjukkan bahawa lelaki lebih cepat tua berbanding wanita dalam kesemua kumpulan umur dengan menggunakan kesemua jam epigenetik.

Perbezaan yang ditunjukkan membuktikan pada peringkat usia muda menjadi lebih besar dan ia melonjak naik dari 1.2 tahun kepada 4.3 tahun apabila mereka sudah berumur.

Di samping itu, perbezaan tersebut kekal apabila mengambil kira tentang semua faktor dan menunjukkan bahawa sesuatu genetik yang ada pada wanita dapat menjadikan mereka lebih muda.

Seorang penyelidik kedoktoran dan ketua pengarang dalam kajian bernama Anna Kankaanpää berkata “Kami mendapati lelaki secara biologi lebih tua daripada wanita pada umur kronologi yang sama, dan perbezaannya yang jauh lebih besar pada peserta yang lebih tua”.

“Kami memerhatikan perbezaan jantina dalam kadar penuaan, yang tidak dijelaskan oleh faktor yang berkaitan dengan gaya hidup,” ujarnya.

“Dalam kajian ini, kami juga menggunakan reka bentuk kajian yang agak berlainan dan membandingkan kadar penuaan antara pasangan kembar yang berlainan jantina.

“Perbezaan yang sama juga dilaksanakan dalam kalangan pasangan kembar ini.

“Adik beradik lelaki itu dianggar tua lebih setahun secara biologi daripada kembar perempuannya.

“Pasangan kembar ini telah membesar dalam persekitaran yang sama dan berkongsi separuh daripada gen mereka.

“Perbezaan yang dapat dijelaskan misalnya seperti perbezaan jantina dalam faktor genetik dan kesan yang baik dalam hormon estrogen wanita terhadap kesihatan,” ujarnya.

Sumber: Daily Mail

Baca: “Sekelip Mata Bisnes Boleh Lingkup,” Ini Realiti Peniaga Di KL Kena Hadam Bila Duit ‘Rolling’ Modal Tak Cukup

Noorliyana Ishak

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.