“Khabar Angin Itu Benar,” Hasbulla Sahkan Dah “Sign” Kontrak & Akan Bertarung Di UFC
Selebriti sensasi internet, Hasbulla Magomedov dilaporkan telah menandatangani kontrak bersama UFC serta mengesahkan akan turut bertarung bagi tujuan promosi, lapor Sport Bible.
Remaja berusia 19 tahun yang menghidapi dwarfism dan berwajah seperti kanak-kanak itu merupakan antara individu yang popular di media sosial dan mempunyai 3.5 juta pengikut di Instagramnya.
Tahun lepas, Hasbulla dilapor telah menjalin persahabatan dengan presiden UFC, Dana White dalam pertemuan di Abu Dhabi.
Khabar angin yang tersebar pada bulan lepas mengatakan bahawa Hasbulla telah menandatangani kontrak dengan syarikat MMA terkemuka dunia itu bagi tujuan pemasaran.
Ekoran daripada itu, Hasbulla pada Khamis telah mengesahkannya dan menyatakan bahawa dia turut akan bertarung di UFC.
“Khabar angin itu benar. Saya secara rasmi telah menandatangani perjanjian untuk bertarung di UFC,” katanya di Twitter.
“Butiran lanjut akan didedahkan menjelang akhir tahun ini. Terima kasih kepada pasukan saya kerana menjadikan impian ini satu kenyataan,” katanya lagi.
The rumors are true. I have officially signed a deal to fight in the @ufc! Details will be revealed by the end of the year. Thank you to my team for making this dream a reality. Get official Hasbulla @ufcstore merch at https://t.co/tP0lr6csNs or https://t.co/odYE41G3xf pic.twitter.com/Jv1QmkN25Z
— Hasbulla NFT (@Hasbulla_NFT) October 13, 2022
Namun begitu, pihak UFC masih lagi belum membuat sebarang pengumuman rasmi berkaitan dengan Tweet Hasbulla itu.
Hasbulla dikatakan pernah bertelagah dengan seorang lagi bintang TikTok, Abdu Rozik pada tahun 2021 lalu. Mereka bertelagah semasa acara utama UFC 267 lalu.
Baru-baru ini, Hasbulla dilaporkan terlibat dalam pertelingkahan di Twitter dengan Conor McGregor.
Bintang UFC itu memulakannya dengan menggelar Hasbulla sebagai “smelly inbred” dan mengugut untuk memukulnya dalam satu tweet yang dikongsikannya. Conor kemudiannya bertindak memadam tweet tersebut.
Hasbulla kemudiannya telah meminta Dana White untuk mengaturkan pertarungan diantara dia dan Conor McGregor dalam UFC.
“Hai pakcik @danawhite dan @ufc tolong jadikan ini kenyataan, bagi saya ratah ayam @TheNotoriusMMA ini,” tulis Hasbulla di Twitter.
“Saya lapar, saya akan belasah dia dengan semangat yang menggunung. Saudara saya @TeamKhabib bersama pasukannya dah selesai, kini masa saya untuk menyinar telah tiba! #HasbullaTime #CantDeleteMyTweetsConor.#” tambahnya lagi.
McGregor kemudian menjawab ciapan berkenaan. Dia telah mengajak Hasbulla untuk sparring suka-suka. Ciapan berkenaan kemudiannya turut dipadamkan oleh Connor.
Hasbulla dijangka akan hadir ke UFC 280 pada 22 Oktober. Dia akan menyokong petarung Islam Makhachev yang bakal berdepan dengan Charles Oliveira bagi merebut gelaran lightweight’.
Sumber: Sport Bible