Lelaki Mabuk Nekad Jadikan Anak Sebagai Tebusan, Nak Suruh Isteri Pulang Ke Rumah Semula
Seorang lelaki mabuk dilaporkan nekad menjadikan bayinya yang berusia lapan bulan sebagai tebusan bagi mendapatkan isterinya semula, lapor The Thaiger.
Dilaporkan bahawa isteri lelaki itu meninggalkannya buat seketika untuk tinggal di wilayah lain.
Lelaki itu pada awalnya melawat ibu bapanya sebelum bertindak mengambil sebilah pisau di dapur dan anaknya yang masih bayi pada tengah malam semalam.
Pegawai Polis Samrong Utara yang menerima berita mengenai penculikan itu pada 2.30 pagi telah bergegas ke tempat kejadian di Bang Muang pinggir wilayah bandar Bangkok.
Polis bersemuka dengan lelaki itu di tempat letak kereta di Soi Patraniwet dan kejadian itu sempat dirakam. Video kejadian itu dilaporkan telah dimuat naik oleh pengguna 77kaoded.
Polis mengambil masa selama satu jam untuk memujuk lelaki itu agar meletakkan senjata dan bayi yang dijadikan sebagai tebusan.
Berdasarkan rakaman video tersebut, si ibu bayi itu dilihat cuba menghampiri dan secara berhati-hati mengambil bayi itu kembali daripada lelaki tersebut.
Bapa lelaki mabuk itu memberitahu polis bahawa anaknya mempunyai hubungan yang bergolak dengan isterinya. Dia pernah berkali-kali memukul isterinya itu dan isterinya dikatakan telah melarikan diri tinggal di luar bandar.
Bapanya berkata lagi, lelaki itu dan isterinya mempunyai hubungan yang tidak baik sejak 10 tahun lalu, sebelum bayi itu dilahirkan lagi.
Si isteri adalah ketua dalam keluarga itu, lelaki itu tidak bekerja dan tidak mampu untuk menyara keluarganya. Selepas serangan itu, lelaki tersebut dikatakan mahu kembali bersama isterinya dan menjaga anak mereka.
Polis kemudian menahan lelaki itu selepas dia melepaskan bayi tersebut dan pisau yang dipegangnya. Polis dilaporkan telah membawanya ke balai polis tempatan. Tiada maklumat sama ada pertuduhan akan difailkan terhadap lelaki itu atau tidak.
Sumber: The Thaiger