Masjid Terbesar Di Jerman Buat Pertama Kalinya Dibenar Laung Azan Jumaat
Sebuah masjid yang terbesar di Jerman, Masjid Pusat Cologne julung kali dilaporkan akan dibenar melaungkan azan pada hari Jumaat ini.
Keputusan tersebut diambil setelah pihak berkuasa di Kota Cologne membenarkannya.
Menurut CNN Indonesia, Masjid Pusat Cologne yang terletak di daerah Ehrenfeld itu dibenarkan melaungkan azan dengan menggunakan pembesar suara selama lima minit pada setiap Jumaat.
Azan akan mula berkumandang pada waktu tengah hari dan pada pukul 3.00 pm waktu tempatan.

Walaupun begitu, kelantangan pembesar suara ketika azan berkumandang tidak boleh melebihi 60 dB.
“Kami sangat gembira,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Turki-Islam, Ditib Abdurrahman Atasoy, yang mengendalikan masjid itu.
“Laungan azan untuk umat Islam di sini telah diterima dengan baik,” sambungnya.

Sementara itu, Datuk Bandar Cologne, Henriette Reker berkata kebenaran melaungkan azan tersebut merupakan tanda “penghormatan” kota kepada umat Islam.
Malahan, beberapa buah masjid di Jerman ini telah lama dibenarkan untuk melaungkan azan menggunakan pembesar suara, lapor CNN Indonesia.
Walau bagaimanapun, kota Cologne baru sahaja membenarkannya pada Oktober tahun lalu, dan ia diikuti oleh beberapa buah masjid kecil di kawasan itu.
Kota Cologne dikatakan mempunyai hampir lebih daripada 100 ribu umat Islam yang menetap di sana.
Sumber: CNN Indonesia