Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang remaja 15 tahun cedera ditikam oleh pemutar skru atau screw driver ketika bergelut dengan seorang lelaki yang pecah masuk rumahnya dalam kejadian di Shah Alam hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata kejadian berlaku semasa mangsa tinggal di rumah bersama abangnya yang berusia 17 tahun.
“Kejadian berlaku apabila mangsa ke dapur untuk meminum air dan tiba-tiba terserempak dengan suspek seorang lelaki yang ketika itu bersembunyi di tepi mesin basuh.
“Lalu berlaku pergelutan dan mangsa telah ditikam dengan menggunakan skru driver di bahagian perut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa yang berusia 15 tahun itu dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil serta ditempatkan di wad biasa.
Mohd Iqbal berkata pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital mendapati mangsa hanya mengalami kecederaan luka kecil di perut dan difahamkan tiada kerugian dilaporkan.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati suspek masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang yang tidak dikunci dan tujuan asal dipercayai untuk melakukan jenayah pecah rumah.
“Suspek hanya bersenjatakan sebatang skru driver sahaja yang disyaki digunakan untuk mengumpil pintu rumah,” tambah Mohd. Iqbal.
Sementara itu difahamkan pemeriksaan ultrasound dan imbasan CT yang dijalankan gagal menemui sama ada luka kecil itu menembusi usus mangsa atau tidak.
“Pihak hospital kini sedang berurusan dengan keluarga mangsa untuk mendapatkan persetujuan membuat pembedahan kerana mangsa sebelum ini pernah menjalani pembedahan apendiks di bahagian perut yang sama,” tambahnya.
Mohd. Iqbal berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Insp Mohamad Zulkifli Mohamad di talian 011-16958529 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
BACA JUGA: Remaja 19 Tahun Pecah Masuk Rumah Pakcik, ‘Sakan’ Joli RM630,000
Sumber: Facebook / IPD Shah Alam