Australia Umum Tarik Balik Pengiktirafan Baitulmuqadis Sebagai Ibu Negara Israel
Australia hari ini dilaporkan bahawa mereka tidak lagi mengiktiraf Baitulmuqadis sebagai ibu negara kepada Israel dengan menarik balik keputusan dari kerajaan konservatif sebelumnya.
Menteri Luar Negeri, Penny Wong dalam satu kenyataan berkata, status bandar tersebut perlu diputuskan melalui rundingan damai antara Israel dan Palestin, bukan melalui keputusan unilateral.
“Kami tidak akan menyokong pendekatan yang akan menjejaskan prospek ini. Kedutaan Australia sentiasa berada dan kekal di Tel Aviv,” jelasnya.
Memetik AFP, kerajaan konservatif yang dipimpin oleh Scott Morrison sebelum ini menghadapi tindak balas domestik yang meluas pada 2018 dengan mengikuti pentadbiran presiden Amerika Syarikat dalam menamakan Baitulmuqadis Barat sebagai ibu negara Israel.
“Saya tahu hal ini telah mencetuskan konflik dan tekanan kepada sebahagian masyarakat Australia. Oleh itu, hari ini kerajaan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia juga mendakwa bahawa keputusan terdahulu yang dibuat oleh kerajaan Morrison mungkin didorong oleh pilihan raya kecil yang penting di pinggir bandar Sydney dengan komuniti Yahudi yang cukup besar.
“Anda tahu apa maksud ini? Ia adalah permainan kotor yang tidak berjaya untuk memenangi kerusi Wentworth dalam pilihan raya kecil,” jelasnya lagi.
Keputusan yang telah dikeluarkan pada 2018 itu juga telah mencetuskan kekecohan di Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam sekaligus telah menyekat perjanjian perdagangan luar antara kedua-dua negara buat sementara waktu.
Disamping itu, beberapa negara juga mengelak daripada memindahkan kedutaan negara mereka ke bandar itu, kerana bimbang akan menjejaskan keputusan akhir rundingan damai yang dijalankan berhubung status Baitulmuqadis.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
Sumber: AFP