Serdang – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengatakan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka pendaftaran bagi ubat berasaskan kanabis jika terdapat bukti kukuh bahawa bahan tersebut boleh digunakan dengan selamat dan berkesan dalam merawat pesakit.
Jelas Khairy seperti yang dilapor Sinar Harian, semakan dan perbincangan dengan pakar-pakar terutamanya dalam bidang ekologi dan rawatan paliatif kini sedang diusahakan oleh Pusat Penyelidikan Klinikal (ICR) di bawah Institut Kesihatan Kebangsaaan.
“Ia turut melibatkan pakar dalam perkhidmatan yang memberi rawatan untuk keadaan tertentu seperti epilepsi dan mereka sedang semak data dari negara luar dari segi keberkesanan dan keselamatan penggunaan kanabis dalam kondisi (penyakit) tertentu.
“Sekiranya semakan pakar mendapati bahawa ada bukti kukuh kanabis boleh digunakan selamat dan berkesan, maka kita boleh buka untuk pendaftaran bagi indikasi (penggunaan untuk rawatan penyakit tertentu ) itu,” katanya.
Khairy berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis serahan Pusat Jantung Hospital Serdang hari ini.
Dalam pada itu, keupayaan penggunaan ubat berasaskan kanabis yang boleh digunakan dalam keadaan tertentu ditentukan oleh tahap kepuashatian pakar-pakar tempatan
Terdahulu, kerajaan juga berpendirian untuk memutuskan keputusan penggunaan kanabis dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun ini seperti yang pernah dilaporkan media tempatan sebelum ini.
Sumber: Sinar Harian