Detik Cemas Pendaki Diserang Beruang Ketika Sedang Berpaut Pada Tebing Berjaya Dirakam
Seorang lelaki berjaya terselamat selepas diserang seekor beruang liar ketika dia sedang memanjat tebing, lapor New York Post.
Detik mendebarkan itu berjaya dirakam oleh lelaki tersebut ketika sedang mendaki Gunung Futago di Jepun.
Pendaki itu dilaporkan terserempak dengan seekor beruang hitam ketika mendaki sebelum terpaksa bertarung untuk mempertahankan dirinya.
Pertarungan antara pendaki dan beruang itu juga turut berjaya dirakam.
Pertembungan yang menakutkan itu dilaporkan berlaku pada awal Oktober lalu. Rakaman tersebut memaparkan lelaki itu sedang memanjat tebing batu sebelum terserempak dengan beruang hitam berkenaan. Dikatakan bahawa beruang terbabit sedang menjaga anaknya daripada ancaman.
Pendaki itu yang terkejut bertindak pantas dan mula mempertahankan dirinya dengan menendang dan menumbuk beruang itu sehingga haiwan tersebut berundur.
Pendaki itu kemudian menendang beruang berkenaan berulang kali untuk mempertahankan dirinya.

Dalam rakaman video terbabit, kelihatan pendaki itu menangkis serangan beruang tersebut sambil berpaut pada tebing batu.
Beruang itu kemudian kembali menyerang pendaki itu dan cuba menerkam pendaki tersebut.
Selepas kira-kira 30 saat, beruang itu melarikan diri ke dalam semak berdekatan dan pendaki tersebut kemudiannya melihat keadaan sekeliling dengan cemas, bimbang sekiranya beruang itu kembali menyerang.

Menurut laporan TMZ, pendaki itu mengakui dia telah menceroboh kawasan beruang tersebut dan berkata dia terpaksa melakukan serangan balas kerana mempertahankan dirinya selepas beruang itu bertindak menyerangnya terlebih dahulu.
Pendaki itu juga berkata, latihan seni mempertahankan diri yang dipelajarinya telah menyelamatkan nyawanya semasa serangan ganas beruang tersebut.
Sumber: New York Post