Jet Tentera Rusia Terhempas Di Bangunan Kediaman, 13 Orang Dilapor Terkorban
Sebuah jet pejuang milik Rusia dilaporkan terhempas di kawasan kediaman Yeysk, sebuah bandar di barat daya Rusia berhampiran sempadan Ukraine menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terkorban, lapor pihak berkuasa Rusia, lapor AFP.
“Operasi menyelamat dan menggali runtuhan tersebut telah selesai. Secara keseluruhan, 13 orang maut termasuk tiga kanak-kanak manakala 19 orang lagi cedera,” lapor kementerian situasi dan kecemasan.
Gabenor wilayah Veniamin, Kondratyev berkata bahawa nahas tersebut telah mengakibatkan kebakaran sebuah bangunan kediaman sembilan tingkat namun hampir berjaya dikawal sepenuhnya.

Salah seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Oksana berkata bahawa kawasan itu telah ditutup.
“Mungkin berlaku letupan, semuanya terbakar di dalam (bangunan) ada asap. Saya sangat terkejut, anak saya berada seorang diri di rumah. Kami juga sudah terbiasa tidur dalam ketakutan setiap hari,” katanya kepada AFP.
Sementara itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin yang dimaklumkan mengenai nahas tersebut mengarahkan semua bantuan dikerahkan kepada mangsa, maklum Kremlin kepada agensi berita staterun TASS.

“Pada 17 Oktober 2022, sebuah pesawat Su-34 terhempas sewaktu berlepas untuk menjalankan latihan penerbangan dari lapangan terbang Tentera Daerah Selatan,” kata kementerian pertahanan Rusia.
Tambah kenyataan itu, pesawat berkenaan difahamkan terhempas sejurus salah satu enjinnya terbakar semasa melakukan take-off.
Imej kejadian itu dimuat naik di media sosial yang memaparkan sebuah blok kediaman era Soviet dilahap api. Kebakaran tersebut menyebabkan lima daripada sembilan tingkat terbakar, tambah perkhidmatan kecemasan menerusi agensi kerajaan Rusia.
Tambahan lagi, kebakaran itu juga telah merebak lebih 2,000 meter persegi dari kawasan berkenaan.
Bandar Yeysk terletak di Teluk Taganrog di Laut Azov, bertentangan dengan Mariupol yang berada di bawah kawalan Rusia. Pekan itu juga menempatkan kira-kira 85,000 orang.
Terdahulu, sebuah pesawat tentera terhempas di bandar Ryazan tenggara Moscow yang mengorbankan empat orang dan lima orang dilapor cedera pada Jun lalu.
Sumber: AFP