80 Tahun Berlalu, Kapal Karam Perang Dunia Kedua Dilapor Bocorkan Bahan Pencemar & Ubah Persekitaran Laut Utara
Satu kajian mendapati bahawa sebuah kapal nelayan Jerman yang tenggelam sewaktu Perang Dunia Kedua telah membocorkan bahan pencemar yang mengubah persekitaran marin di Laut Utara.
Difahamkan, kapal karam yang berusia sekitar 80 tahun itu adalah kapal jenis V-1302 John Mahn iaitu kapal pukat nelayan yang digunakan sebagai kapal peronda Jerman pada Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1942, Tentera Udara Diraja Britain telah mengebom kapal tersebut dan menyebabkan kapal itu terbalik di Pantai Belgium.
Bahan pencemar toksik seperti sebatian arsenik dan bahan letupan dalam sampel yang dikumpulkan dari dasar laut berhampiran bangkai kapal tersebut ditemui dalam kajian baru yang diterbitkan pada Selasa dalam jurnal Frontiers in Marine Science.

Selain itu, sampel mikroorganisma yang terhakis juga turut diambil dari badan kapal.
Menurut penyelidik kajian terbabit, walaupun sudah lapan dekad kejadian itu berlaku, bahan kimia dan mikroorganisma tersebut masih mempengaruhi mendapan bahan kimia dan ekologi mikrob di sekeliling kawasan.
Jelasnya lagi, ia akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap bangkai kapal di Laut Utara dan di seluruh dunia.
“Masyarakat umum sering tertarik dengan bangkai kapal yang disaksikan atas nilai sejarahnya namun kesan persekitaran bangkai kapal tersebut sering diabaikan,” kata salah seorang pengarang kajian serta seorang calon Ph.D. yang mahir dalam biodegradasi laut di Ghent University di Belgium, Josefien Van Landuyt.
Bahan pencemar yang terdapat dalam sampel dari dasar laut merangkumi pelbagai logam berat termasuklah nikel dan tembaga. Kepekatan sebatian yang paling tinggi juga didapati berada paling dekat dengan kapal yang tenggelam.

Para penyelidik menganggarkan bahawa bangkai kapal dari Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua di seluruh dunia secara kolektif mengandungi sebanyak 20.4 juta tan produk petroleum.
Penyelidikan V-1302 John Mahn adalah sebahagian daripada inisiatif yang disebut sebagai projek North Sea Wrecks, yang bertujuan untuk mengkaji dasar laut di sekitar bangkai kapal di Pantai Belgia.
“Manusia sering lupa bahawa di bawah permukaan laut, kehadiran manusia telah memberi impak yang cukup besar terhadap haiwan, mikroorganisma dan tumbuhan yang tinggal di dalam laut.
“Ia masih memberi kesan kepada bahan larutan kimia, bahan bakar fosil serta logam berat dari bangkai kapal yang kadang-kadang kita sendiri tidak pasti kewujudannya di sana,” kata Van Landuyt.
Sumber: NBC News
BACA JUGA: Mungkin Anak Sendiri Pernah Terkena, Ini 5 Jenis Buli Di Sekolah Termasuklah Jegil Mata