Siakap Keli
Gambar: Bernama

Mungkin Anak Sendiri Pernah Terkena, Ini 5 Jenis Buli Di Sekolah Termasuklah Jegil Mata

Seperti yang diketahui, isu buli tidak akan pernah padam dalam ‘kamus hidup’ masyarakat. Manakan tidak, setiap tahun pasti akan ada kes buli dilaporkan terutamanya melibatkan pelajar sekolah. Ia merupakan masalah yang ada dari dulu hingga kini.

Malah, bukan saja kanak-kanak, orang dewasa juga tidak terkecuali menjadi mangsa buli.

Tapi kali ini Siakap Keli nak bercakap tentang isu buli di sekolah. Untuk pengetahuan anda, buli bukan semata-mata pukul fizikal, sebenarnya ada banyak bentuk buli di sekolah yang ibu bapa perlu ambil tahu.

Silap hari bulan, ada antara anak kita pernah menjadi mangsa buli tanpa disedari ibu bapa.

Jadi SK nak kongsikan 5 bentuk buli menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Semoga bermanfaat untuk semua.

Peras ugut

Apabila bercakap mengenai buli, tindakan peras ugut sudah pasti bermain di dalam fikiran. Apa yang pembuli akan mahu bila peras ugut mangsanya?

Kebiasaannya, pembuli akan meminta duit secara paksa, memaksa buat kerja rumah, sembunyikan barang mangsa dan memaksa menjelaskan bayaran (makanan, minuman, alat tulis dan sebagainya).

Ia juga boleh berlaku apabila pembuli mengugut supaya merahsiakan perbuatan salah laku serta memaksa melakukan salah laku. Paling sering berlaku adalah menjadikan mangsa sebagai orang suruhan.

‘Pulau’

Jangan tidak tahu bahawa memulaukan atau menyisihkan seseorang ketika di sekolah adalah termasuk dalam buli. Tindakan ini boleh memberi kesan kepada mental mangsa dalam tempoh jangka masa yang panjang.

Kebiasaannya mangsa buli tidak akan dimasukkan dalam kumpulan tertentu, tidak diberikan kemudahan yang sepatutnya, tidak diberikan kerjasama dan pembuli tidak suka pada murid yang terlalu mengikut peraturan (skema).

Isyarat bukan lisan

Dalam pada itu, isyarat bukan lisan seperti menjegil mata, menjelir lidah pun sebenarnya sudah dikira sebagai satu bentuk buli.

Tidak cuma itu, ia melibatkan bahasa badan dan isyarat lucah.

Fizikal

Bila berlakunya buli secara fizikal seperti memukul, menumbuk dan menendang, ia kebiasaannya akan mudah disedari dikesan dan disedari oleh orang sekeliling.

Buli secara fizikal ini boleh dikatakan sebagai bentuk buli yang paling teruk perlu dihadapi oleh mangsa.

Lisan

Buli juga boleh berlaku sekiranya pembuli melakukan ejekan, memfitnah, memanggil atau memberi gelaran yang mengaibkan, mencarut, memaki dan menghina.

Kesan kesemua bentuk buli itu mungkin tidak nampak dari luaran tetapi jika berlarutan pasti akan memberi kesan kepada mental anak-anak.

Sebagai manusia yang memerlukan penerimaan orang sekeliling, diejek, dipulau rakan-rakan pasti beri kesan kepada mangsa.

Menurut kajian, buli mental memberi kesan yang sama dengan penderaan fizikal. Jadi orang dewasa tidak boleh ambil mudah jika ada anak kecil yang mengadu dibuli.

Ringkasnya, buli ada pelbagai bentuk dan tidak boleh diambil mudah. Jika anak mengadu dibuli, boleh terus adukan ke portal aduan buli KPM.

Sofea

There's always another side to every story