Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Fadhlina Sidek Mahu Aduan Buli Di Sekolah Dikesan Awal, Tindakan Segera Perlu Diambil

aduan
Kredit: Facebook Fadhlina Sidek

Kementerian Pendidikan memberi perhatian terhadap usaha mengesan petanda awal buli di sekolah dan memastikan setiap aduan murid diberikan tindakan segera bagi melindungi keselamatan mereka.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, setiap murid perlu mengetahui bahawa mereka mempunyai pihak yang boleh dirujuk sekiranya berdepan situasi yang menimbulkan ketakutan di sekolah.

Menurutnya, terdapat murid yang mungkin berasa takut untuk mengadu kerana bimbang menerima ugutan, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa berdepan situasi berkenaan berulang kali.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas mengadakan pertemuan bersama Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), DCP Datuk Suryani Sungit.

Menurut Fadhlina, kira kira 16,000 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) kini terlibat secara lebih aktif dalam hal ehwal sekolah bagi membantu memastikan murid mengenali pegawai yang boleh memberikan bantuan.

Katanya, kehadiran anggota polis di sekolah bukan hanya diperlukan selepas sesuatu kejadian berlaku, sebaliknya mereka juga perlu berperanan membantu mengesan masalah lebih awal.

Dalam pertemuan itu, kedua dua pihak turut membincangkan pelaksanaan saringan air kencing yang lebih kerap oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Selain itu, perkongsian data berkaitan kesihatan mental bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut dibincangkan bagi membantu mengenal pasti keperluan intervensi dan sokongan kepada murid.

Fadhlina berkata, guru tidak seharusnya memikul tanggungjawab menangani isu berkenaan secara bersendirian, sebaliknya kerjasama antara agensi perlu diperkukuh bagi memudahkan pihak sekolah mendapatkan bantuan.

Beliau turut menegaskan setiap aduan yang diterima perlu disusuli tindakan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan murid terus diberikan perhatian.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa dan warga sekolah supaya mengambil serius apabila anak anak mula berkongsi masalah atau menceritakan perkara yang membimbangkan mereka.

Katanya, murid perlu diberikan keyakinan bahawa setiap kali mereka berani bersuara, akan ada pihak yang bersedia mendengar serta melindungi mereka.

Intipati
  • Kementerian Pendidikan mahu petanda awal buli dikesan dan aduan murid ditangani segera.
  • Kira-kira 16,000 Pegawai Perhubungan Sekolah kini terlibat lebih aktif dalam hal ehwal sekolah.
  • Fadhlina berkata kerjasama agensi diperlukan supaya guru tidak menangani isu murid bersendirian.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan