Pemandu Kereta Terkejut, “Microwave” Tiba-Tiba Hinggap Cermin Kereta Dibaling Lelaki Bermotosikal
Seorang pemandu kereta dilapor cedera selepas seorang pembonceng motosikal bertindak membaling ‘ketuhar gelombang mikro’ di cermin hadapan sebuah kereta yang sedang bergerak pada 16 Oktober lalu, lapor Daily Star.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada lewat malam semasa kereta tersebut bergerak dalam kelajuan penuh.
Kereta yang dipandu lelaki itu merupakan kereta jenis Ford Fiesta biru dan kejadian berlaku di Heapham Road di Gainsborough.
Detik menakutkan itu bermula apabila pemandu kereta tersebut melihat sebuah motosikal yang dinaiki oleh dua orang bergerak menuju ke arahnya tanpa lampu pada jam 11 malam.
Pembonceng motosikal itu kemudian bertindak membaling ketuhar gelombang mikro tersebut ke arahnya sehingga menyebabkan cermin depan kereta itu pecah dan berterabur di dalam kereta terbabit.

“Kami sedang menyiasat laporan kejadian terbabit di mana ketuhar gelombang mikro dikatakan telah dilempar ke cermin depan sebuah kereta yang sedang bergerak. Cermin depan kereta itu rosak dan penumpang mengalami kecederaan, mujur ianya tidak serius.
“Pemandu Ford Fiesta berwarna biru itu berkata bahawa dia melihat motosikal yang dinaiki oleh dua orang itu menuju ke arahnya dalam keadaan lampu tidak menyala,” kata jurucakap Polis, Lincolnshire.
“Terdapat beberapa laporan kerosakan pada kereta berlaku di Gainsborough, pada hujung minggu lalu.
“Kami telah menerima laporan kerosakan pada kenderaan di Corringham Road, Garfield Street dan Forster Street, di mana saksi telah melihat aksi seorang penunggang dan pembonceng yang menaiki motosikal menggunakan barang seperti tiang gol dan senjata yang dipercayai kapak untuk merosakkan kereta,” kata Lincolnshire lagi.
Pihak polis dilaporkan sedang giat memburu pelaku yang dipercayai turut terlibat dengan beberapa lagi kerosakan yang berlaku di bandar tersebut.
Sumber: Daily Star