Ada Yang “Colour” Biru, Pakar Dedah Labu Sebenarnya Terdapat Dalam Pelbagai Warna & Selamat Dimakan
Pada setiap bulan Oktober, rak-rak di pasar raya akan dipenuhi dengan pelbagai saiz labu berwarna oren. Namun begitu, jika anda pergi ke ladang labu, anda mungkin terkejut apabila sebenarnya terdapat labu yang mempunyai warna selain warna oren.
Apa yang lebih mengejutkan lagi ialah apabila seorang pengunjung yang bertanya, “Bolehkah anda mendapatkan labu berwarna biru?” Lapor Mirror UK.
Seorang wartawan dari Mirror UK, Amber O’Conner berkongsi pengalaman ketika beliau melawat ke ladang labu tersebut pada beberapa hari lalu. Beliau kagum apabila melihat pelbagai variasi warna labu seperti oren, hijau, putih, kuning dan biru.
O’Conner berkata, beliau ingin tahu adakah labu-labu yang berwarna-warni ini boleh diklasifikasikan sebagai labu atau tidak. Mujurlah beberapa persoalan tersebut dijawab oleh Persatuan Hortikultur Diraja, Joe Lofthouse.
Pakar hortikultur dari RHS Garden Harlow Carr itu menjelaskan kepada The Mirror mengenai bagaimana labu boleh berwarna biru.
“Terdapat pelbagai jenis labu yang mempunyai perbezaan dari segi kulit, bentuk, warna dan bermacam lagi.”
“Ia juga menjadi isu utama dalam perdebatan tentang apa yang menyebabkan labu-labu ini mempunyai kelainan yang tersendiri,” jelasnya.

Memetik laporan Mirror UK, kesemua jenis labu ini tergolong dalam keluarga Curcubitaceae, termasuklah timun dan courgettes.
Selain itu, pakar hortikultur turut menjelaskan dengan berkata “Terdapat beratus-ratus jenis labu yang boleh dipilih seperti labu ‘acorn’ (labu yang agak kecil) dan labu gergasi. Tanaman ini tumbuh sebagai semak, separa semak, separa mengekor atau mengekor.”
“Warna-warna labu terdiri daripada oren, merah, kuning, hijau, kelabu dan juga biru. Selain itu juga, terdapat pelbagai jenis corak, bentuk dan saiz yang pelik pada setiap labu berkenaan,” jelasnya lagi.

Walaupun mempunyai warna, bentuk dan saiz yang berbeza, isi dalaman labu berkenaan masih berwarna sama seperti labu-labu yang lain iaitu kuning dan oren.
Oleh itu, semua jenis labu ini adalah selamat untuk dimakan dan ada sesetengah jenis yang mungkin memberikan rasa yang lebih sedap dan lain daripada yang lain.
Mr Lofthouse berkata, “Semua jenis labu ini boleh dimakan tetapi mungkin terdapat perbezaan yang ketara dari segi rasa, kehalusan isi dan sebagainya.
“Labu gergasi yang selalunya diukir pada bulan Halloween selalunya tidak mempunyai rasa dan boleh menjadi agak berair.
“Ketika melakukan uji kaji ke atas labu di RHS Garden Harlow Carr, labu jenis ‘Turks’s Turban’ adalah yang terbaik. Ia sangat popular untuk dijadikan hiasan atau digunakan dalam masakan ketika musim luruh.
“Labu biru, hijau dan kelabu ditanam secara meluas dan isinya jauh lebih padat daripada labu biasa. Tekstur labu tersebut lebih lembut dan walaupun sukar untuk dipotong.
“Namun, rasanya sangat sedap dan boleh bertahan sehingga lima atau enam bulan jika disimpan dengan betul.
“Selain daripada itu, boleh juga cuba labu jenis ‘Crown Prince atau ‘Queensland Blue’.” kata Mr. Lofthouse kepada Mirror UK.
Sumber: Mirror UK