Berang Kena Minta Cerai, Lelaki Tergamak Tendang Paha & Pinggang Isteri Hingga Cedera
Seorang lelaki tergamak menendang isterinya sendiri gara-gara berang selepas mangsa mengajaknya ke mahkamah syariah bagi memfailkan perceraian, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita yang merupakan seorang guru tadika berusia 30 tahun itu telah pergi ke rumah ibu mentuanya di Taman Uda pada jam 10.30 pagi untuk bertemu dengan suspek.
“Tujuan mangsa ke rumah mentuanya untuk mengajak suaminya ke mahkamah bagi tujuan perceraian.
“Suspek kemudian berang dan telah menendang paha dan pinggang mangsa sebanyak dua kali,” kata Mohamad Farouk dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau lagi, mangsa kemudian telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan disahkan mengalami kecederaan akibat tendangan itu.
“Suspek berusia 29 tahun telah ditangkap pada 6.20 petang, pada hari yang sama,” katanya lagi.
Mohamad Farouk berkata lagi bahawa pasangan berkenaan telah berkahwin sejak dua tahun lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki yang masih berusia lapan bulan.
“Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan,” ujarnya lagi dalam kenyataan tersebut.
Sumber: Sinar Harian