Kanak-Kanak Kurang Dapat “Attention” Cenderung Jadi Obes – Kajian
Satu kajian yang dijalankan mendapati kanak-kanak yang kurang mendapat kasih sayang daripada ibu bapa berkemungkinan akan membesar dengan berat badan berlebihan atau obesiti, lapor The Guardian.
Menurut penyelidik di Kongres Antarabangsa Obesiti di Melbourne, cara didikan ibu bapa yang berbeza terhadap berat badan kanak-kanak telah ditentukan buat pertama kalinya dengan indikasi kemesraan hubungan ibu bapa kepada anak adalah kunci kepada berat badan anak yang sihat.
Analisis data menerusi 10,000 kanak-kanak di UK mendapati ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka dikaitkan dengan berat badan yang lebih tinggi di zaman kanak-kanak dan remaja.
Kedua-dua jenis didikan ibu bapa dicirikan oleh kurangnya kemesraan dan kasih sayang diberikan kepada anak-anak.
“Cara didikan terhadap berat badan kanak-kanak sering dianggap sebagai subjek yang sensitif,” kata penyelidik Alexa Segal dari Pusat Inovasi Ekonomi & Dasar Kesihatan di Imperial College London.
“Walau bagaimanapun, pemahaman yang menyeluruh terhadap cara didikan ibu bapa dan obesiti di kalangan anak-anak dan remaja mempunyai potensi besar untuk membangunkan program kesihatan dan pemakanan yang lebih berkesan,” katanya lagi.
Obesiti di kalangan kanak-kanak adalah masalah yang semakin meningkat di seluruh dunia. Di England, lebih daripada satu perempat kanak-kanak berumur empat dan lima tahun mengalami berat badan berlebihan atau obes.
Menurut data kajian daripada ‘Avon Longitudinal Study of Parents and Children’, kajian itu menunjukkan perkaitan antara cara didikan ibu bapa semasa didikan awal kanak-kanak dan berat badan kanak-kanak kemudian pada awal remaja, remaja hingga ke dewasa.
Cara didikan ibu bapa dibahagikan kepada empat kategori berdasarkan borang soal selidik yang diisi oleh ibu bapa dan anak-anak.
Empat gaya yang diteliti dalam kajian ini adalah, autoritatif (ibu bapa yang mengekalkan batas yang jelas tetapi juga mesra), autoritarian (ibu bapa yang mengekalkan disiplin yang ketat dan meunjukkan sedikit kemesraan), permisif (ibu bapa yang empati tetapi mempunyai beberapa peraturan), dan terakhir ialah ibu bapa yang cuai dan tidak ambil tahu tentang anak-anak mereka.
Analisis selama dua dekad ke atas 10,510 orang responden itu menunjukkan bahawa anak-anak muda yang menjalani cara didikan ibu bapa yang autoritarian atau didikan secara pengabaian berkemungkinan mempunyai berat badan yang lebih tinggi daripada mereka yang mendapat didikan ibu bapa jenis autoritatif.
Keputusan bagi didikan ibu bapa dengan gaya permisif tidak menunjukkan signifikan secara statistik.
Kekurangan kasih sayang dan kemesraan dikaitkan dengan gaya didikan ibu bapa autoritarian dan pengabaian kerana keupayaan kanak-kanak untuk mengawal diri mereka daripada pengambilan makanan.
Mereka tidak mendapat didikan bagaimana mengawal pengambilan makanan yang sepatutnya mereka ambil, kata para penyelidik kajian berkenaan.
“Ibu jenis autoritarian dicirikan sebagai seorang yang mengawal dan mendesak mempunyai perasaan kasih sayang dan kemesraan yang rendah,” kata Segal lagi.
Ini boleh menyebabkan mereka tidak bertindak balas terhadap isyarat kelaparan anak mereka, sebagai contoh tidak membenarkan mereka memilih makanan ringan apabila lapar. Atau menetapkan kawalan ke atas pengambilan makanan kepada mereka.
“Kawalan ini bermakna bahawa kanak-kanak itu tidak mengembangkan keupayaan mereka sendiri utnuk mengawal pengambilan tenaga mereka sendiri. Bermakna mereka mungkin akan berlebihan apabila mempunyai keupayaan pengambilan tersebut.
“Pengabaian ibu, sebaliknya merupakan isu yang sebenar. Di mana tiada peraturan diberikan kepada kanak-kanak dalam pengambilan makanan yang sihat oleh mereka,” sambung Segal lagi.
“Kajian ini menunjukkan kepentingan asas didikan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak yang sihat sangat penting,” kata Prof Louise Baur, Presiden Persekutuan Obesiti Dunia.
“Dunia pada hari ini sering menyukarkan kanak-kanak dan keluarga untuk makan dengan baik, aktif secara fizikal, tidur lena dan menghadapi tekanan.
“Ibu bapa yang menetapkan had yang sesuai untuk anak mereka, sambil memberi kasih sayang dalam hubungan, mungkin dapat membantu anak mereka menjadi sihat,” kata Prof Louise lagi.
Sumber: The Guardian