Kita Tak Pakai Nama Dia Pun – Ameer Mydin
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin hari ini mempersoalkan kenyataan yang dibuat oleh Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice susulan tindakannya yang mahu menyaman pasar raya terbabit, lapor Sinar Harian.
Menurut Dr Ameer Ali Mydin, pasar raya Mydin tidak pernah menyebut atau menggunakan namanya dalam mana-mana ciapan ataupun hantaran di media sosial mereka.
“Kalau dia nak saman, samanlah. Tetapi kenapa nak saman kita? Kita tak pakai nama dia pun. Sebenarnya, siapa makan cili, dia yang rasa pedas,” katanya kepada Sinar Harian pada hari ini.
Pada Rabu lalu, Caprice menerusi hantaran di Instagram miliknya telah menyatakan bahawa dia tidak akan teragak-agak untuk menyaman Mydin berikutan ciapan di Twitter rasmi Mydin yang didakwa telah memalukan dirinya.
Menerusi hantaran itu lagi, sekiranya Mydin tidak membuat sebarang permohonan maaf dalam tempoh 24 jam maka dia akan meneruskan untuk menyaman pasar raya berkenaan.
Dalam muat naik hantaran lain di InstaStory, Caprice turut menawarkan untuk belanja rakyat Malaysia di pasar raya tersebut.
Ekoran daripada itu, Dr Ameer Ali Mydin sempat berterima kasih kepada Caprice kerana selalu membeli barangan di pasar raya Mydin bagi menjalankan kerja-kerja amalnya.
“Baguslah dia buat kerja amal dan kita pun nak bekerjasama kalau dia sudi. Dia nak bagi lima barang percuma dan Mydin akan tambah satu barang lagi. Kita beri satu kilogram peket gula percuma.
“Ini tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mydin Prihatin. Niat kita nak bekerjasama dan tolong rakyat. Kita bukan nak bertengkar serta saman menyaman antara satu sama lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut berpendapat bahawa wang itu sebaiknya digunakan untuk tujuan amal berbanding digunakan untuk tindakan saman menyaman.
“Saman menyaman antara satu sama lain ini akan mengayakan peguam, tidak akan kayakan dia, tidak kayakan saya dan baik kita gunakan duit itu untuk tujuan amal,” akhiri Dr Ameer Ali Mydin.
Sumber: Sinar Harian