Penumpang Kereta Maut Dalam Nahas Libatkan Lori Dan Treler
Satu kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 246.7 Lebuh raya Pantai Timur 1 (LPT1), Kuantan-Jabor dekat Gebeng telah meragut nyawa seorang penumpang yang menaiki kenderaan MPV jenis Perodua Alza, lapor Sinar Harian.
Kemalangan itu dikatakan telah berlaku pada 4.07 petang tadi, di mana seorang lelaki yang merupakan penumpang bagi kenderaan MPV yang dinaiki bersama dua yang lain disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pemandu lelaki dan seorang penumpang wanita yang menaiki MPV berkenaan tersepit dan mengalami kecederaan.
Menurut Zulfadli lagi, kemalangan itu melibatkan sebuah treler, lori satu tan dan MPV Perodua Alza yang dinaiki mangsa.
“Susulan maklumat diterima, tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng ke lokasi untuk memberi bantuan menyelamatkan mangsa.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, didapati tiga mangsa dalam MPV itu tersepit dan seorang penumpang belakang disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, pihak pasukan keselamatan telah berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat sebelum menghantar mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” akhiri Zulfadli.
Sumber: Sinar Harian