Penumpang Pesawat United Airlines Cemas, Temui Ular ‘Tumpang’ Naik “Business Class”
Kemunculan seekor ular di dalam pesawat United Airlines telah menyebabkan kekecohan dalam kalangan penumpang ‘business class’ sewaktu penerbangan dari Florida ke New Jersey, lapor The Guardian.
Menurut Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey, reptilia yang dikenal pasti sebagai ular garter yang dikatakan tidak berbahaya itu telah muncul dalam penerbangan 2038 United Airlines dari Tampa.
Penemuan itu berlaku sejurus selepas penerbangan tersebut mendarat pada petang Isnin lalu di lapangan terbang antarabangsa Newark Liberty.
Ketika pesawat itu sedang bergerak dari landasan menuju ke pintu ketibaan, penumpang di kabin kelas perniagaan mula menjerit dan mengangkat kaki mereka, ujar salah seorang penumpang kepada saluran berita News 12 New Jersey.
“Pegawai bahagian kawalan haiwan di lapangan terbang serta Pihak Berkuasa menunggu di pintu pagar ketibaan untuk menangkap ular tersebut. Ular berkenaan kemudiannya dilepaskan ke alam liar.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan tiada kesan kepada pengoperasian lapangan terbang. Pesawat tersebut juga dikatakan meneruskan penerbangannya ke Newark,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Cheryl Ann Albiez menerusia e-mel pada Selasa lalu.
Jurucakap United Airlines, ketika ditanya mengenai kejadian itu berkata penumpang telah memberitahu krew kapal berkenaan ular tersebut dan meminta untuk menghubungi pihak berkuasa yang berkaitan bagi menyelesaikan masalah itu.
Namun begitu, bagaimana cara ular tersebut dikeluarkan dari ruangan penumpang itu tidak dinyatakan oleh jurucakap tersebut.
Kejadian pada Isnin lalu itu bukanlah yang pertama kali terjadi. Sebelum ini seekor ular besar ditemui merayap melalui kabin penumpang dalam penerbangan Aeromexico ke Mexico City pada 2016 lalu.
Kejadian lain pula berlaku sewaktu penerbangan dari Australia ke Papua New Guinea, seekor ular sawa dikesan berada di sayap kapal terbang berkenaan.
Sumber: The Guardian