Umur Bukan Penghalang, Lelaki Tak Kisah Kahwini Guru Sendiri Walau Jarak Usia 20 Tahun
Tular di media sosial Indonesia berkenaan seorang lelaki berusia 24 tahun yang selamat melangsungkan perkahwinannya bersama wanita yang jauh lebih berusia, lapor Detik.com.
Wanita yang dikahwininya itu dilaporkan berusia 44 tahun dan mereka dikatakan mempunyai perbezaan jarak umur sebanyak 20 tahun. Hubungan mereka pada sebelum ini difahamkan hanya sebagai pelajar dan seorang guru.
Kisah yang tular itu bermula dari akaun TikTok @sigitsb_ yang bertindak berkongsi kisah cinta mereka. Dia juga sempat menangkap beberapa gambar ketika pertama kali bertemu dengan gurunya itu.
Lelaki yang bernama Sigit Setya Budi itu menceritakan bagaimana dia mula berkenalan dan tertarik dengan guru yang kini bergelar isterinya. Mereka difahamkan mula berkomunikasi buat pertama kalinya pada tahun 2020.

“Pada mulanya, saya minat dan menyukainya kerana personalitinya. Personaliti yang boleh dikatakan sebagai ‘wonder woman’. Selain mengajar dia juga mempunyai perniagaan sendiri. Komunikasi pada 2020 adalah untuk perbincangan perkembangan perniagaan milik isteri saya,” kata Sigit.
Menurut Sigit, ketika masih bersekolah, isterinya itu merupakan seorang guru yang berdisiplin dan bertanggungjawab. Sigit menjadi rapat dengan guru itu ketika mereka mahu berkerjasama memulakan perniagaan.
“Mulai tahun 2020, bertemu untuk merancang pembangunan perniagaan kami. Pertemuan itu membuatkan kami semakin rancak serta dapat mengenali sifat dan perwatakannya yang mempunyai banyak sisi positif,” katanya kagum.
Ketika mereka merancang untuk berkahwin, Sigit mendedahkan reaksi awal guru dan rakan terdekatnya yang terkejut dan tidak menyangka jika pasangan itu pada akhirnya bakal melangsungkan perkahwinan.
Selain rakan-rakannya, ibu bapanya juga terkejut apabila diberitahu Sigit bahawa dia akan berkahwin dengan bekas gurunya itu. Ibu bapanya malah bertanya sama ada dia benar-benar bersungguh untuk mengahwini bekas gurunya itu.
“Apa yang jelas, keputusan yang saya ambil ini akan menjadi tanggungjawab saya,” jelasnya Sigit.
Sigit berkata, kini dia bersama isterinya bahagia dengan perniagaan mereka yang mengusahakan jualan mee ayam goreng yang dinamakan sebagai Miyago Andari. Dia juga tidak mahu mengulas persoalan netizen berkenaan jurang perbezaan umur antara mereka.
“Selagi apa yang kami lakukan ini betul dan tidak melanggar peraturan, maka jalani sahaja. Cemuhan atau kritikan adalah perkara biasa, bergantung kepada cara kita bertindak balas. Apa yang boleh kita lakukan ialah mengawal diri sendiri, bukan orang lain,” akhirinya.
Muat naik video perkongsian kisah cinta ‘isteriku adalah guruku’ tersebut telah ditonton lebih daripada 14.3 juta tontonan. Selain itu, penonton juga tidak melepaskan peluang meninggalkan komen kepada dua pasangan tersebut.
Sumber: Detik.com