Tak Sanggup Tinggalkan Kucing Kesayangan, Wanita Nekad Tinggal Dalam Semak Sejak 3 Tahun Lalu
Seorang wanita yang dipercayai berusia 50-an ditemui tinggal di dalam semak samun selama 3 tahun kerana tidak sanggup berpisah dengan kucing kesayangannya yang digambarkan sebagai soulmate atau teman sehati sejiwanya.
Memetik laporan Lad Bible, wanita tersebut telah ditemui oleh seorang pakar bedah pokok, Gareth Olson, yang membersihkan ladang di kawasan Chester ketika dia melihat ‘rumah sementara’ di antara semak-semak tersebut.
Wanita itu menjelaskan bahawa nasibnya itu berpunca daripada tiada penginapan untuk disewa serta yang dapat menerima kehadiran haiwan peliharaannya.

Disebabkan itu dia membuat keputusan untuk tinggal di kawasan luar bersama kucingnya.
‘Rumah’ wanita itu terdiri daripada kain terpal, beberapa payung, beg tidur lama, selimut, bantal serta beberapa barang lain di dalam beg dan kotak.
“Ini kisah yang sangat menyedihkan. Saya berasa sangat terkejut dan kasihan padanya. Saya sedang membersihkan sebidang tanah untuk tuan tanah persendirian dan sudah bertahun ianya tidak disentuh.
“Salah seorang pekerja lelaki kami berada di dalam traktor kemudian satu tangan mula muncul dari semak samun lalu melambai sambil berkata ‘Saya tinggal di sini’.
“Sekarang saya sedang melakukan kerja-kerja amal di Deeside, namun saya tidak mempunyai kenalan di Chester jadi saya fikir ‘apa yang boleh saya lakukan,” jelas Gareth kepada Metro UK.
Gareth kemudian dengan pantas bertindak untuk membantu wanita itu dengan memberikannya wang untuk membeli makanan dan turut menelefon rakannya, Adam Dandy daripada badan amal gelandangan tempatan, Supporting Homeless, Assisting Refugees Everywhere (SHARE).
Tambah Gareth lagi Adam Dandy banyak melakukan kerja amal bersama SHARE dan mereka telah menghantar pasukan mereka bagi membantu wanita itu.
“Semasa pertama kali bertemu dengannya, saya berkata bahawa harap dia tidak keberatan jika saya bertanya berapa lama dia sudah berada di sini lalu dia menjawab sudah beberapa tahun, mungkin dua atau tiga tahun.
“Dia juga kelihatan sangat gugup kerana memikirkan kami akan mengusirnya dari tempat tersebut. Saya berkata tidak, sebaliknya saya ingin cuba membantunya. Saya tidak akan meninggalkannya di sana,” katanya.

Lelaki itu juga berkata bahawa dia tidak boleh tidur pada malam itu kerana memikirkan keadaan wanita tersebut.
Pada mulanya wanita itu berkeras bahawa dia akan terus berpindah ke tempat lain dan membersihkan semak samun itu sebelum berpindah.
“Saya bertanya kepadanya adakah dia sudah mempunyai tempat tinggal yang lain kemudian dia berkata bahawa dia sudah mencari tempat tinggal selama bertahun-tahun namun dalam masa yang sama dia mempunyai seekor kucing yang sudah beberapa tahun bersamanya tetapi kebanyakan tempat tidak sudi untuk menerima kucingnya.
“Saya gembira kerana semuanya sudah berakhir dan wanita itu kini sudah mendapat sokongan,” jelasnya lagi.
Adam daripada pihak SHARE turut menjelaskan bahawa wanita itu kini sudah mendapat bantuan untuk mencari rumah lain.
Sumber: Ladbible
BACA: “Smart Woo,” Gigih Seludup ‘Handphone’ 3310 Abah Ke Sekolah Semata Nak Tunjuk Kat Rakan Sekelas